Lelaki lepaskan tembakan berang putus bekalan dadah - Utusan Malaysia

Lelaki lepaskan tembakan berang putus bekalan dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR 19 Julai – Gara-gara tidak berpuas hati kerana tidak lagi diberikan bekalan dadah dan rumahnya mahu dibakar, seorang lelaki bertindak agresif apabila melepaskan tembakan terhadap dua individu di hadapan sebuah rumah di Tanjung Piandang di sini semalam. 

Dalam kejadian pada pukul 2.32 pagi itu, lelaki berusia 37 tahun itu melepaskan tembakan dengan menggunakan sepucuk pistol jenis Smith & Wesson miliknya yang dibeli tanpa permit atau lesen yang sah.  

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd. Rahman berkata, tembakan lelaki terbabit bagaimanapun tersasar sebelum dia bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal.

Katanya, dua individu tersebut kemudiannya mengejar lelaki terbabit bersama dua lelaki lain menaiki sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan melanggar belakang motosikal lelaki itu hingga menyebabkan dia jatuh melambung di atas jalan. 

“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila lelaki tersebut marah dan tidak berpuas hati terhadap dua individu itu kerana tidak mahu memberi bekalan dadah lagi kepadanya. 

“Lelaki itu juga bertindak agresif apabila mendapat tahu mereka mahu membakar rumahnya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 

Menurut beliau, tangkapan dilakukan terhadap lelaki itu dan seorang lagi suspek sebelum tiga lagi lelaki ditahan di dua lokasi berasingan di Tanjung Piandang. 

Katanya, semakan mendapati kelima-lima lelaki tersebut mempunyai rekod lampau bersabit kes narkotik. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN