ALOR GAJAH 2 Julai – Lebih daripada 8,000 tetamu dan komuniti pelbagai peringkat usia, bangsa dan keturunan telah hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Alor Gajah, Mohd. Redzuan Yusof di Dataran Keris, di sini baru-baru ini.
Pertubuhan Mesra Pengguna Malaysia (PMPM) dalam satu kenyataan memberitahu, majlis yang bermula pada pukul 8 malam itu dengan matlamat jelas mengeratkan silaturahim antara pemimpin dan komuniti dalam meraikan semangat serta keceriaan perayaan Aidilfitri yang disambut setiap tahun itu.
“Ahli Parlimen Alor Gajah (Mohd. Redzuan) sebagai tuan rumah turut memohon maaf jika terdapat rungutan kehabisan makanan yang disebabkan kehadiran luar jangkaan (jangkaan awal 5,000 tetamu) itu.
“Beliau juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, Pejabat Daerah, Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pusat Kesihatan serta Jabatan Penerangan Daerah dan semua agensi yang turut membantu menjayakan majlis,” katanya di sini hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, Mohd. Rezuan ketika menyampaikan ucapan aluan mengajak semua pihak supaya melibatkan diri dalam arus kesejahteraan dan keharmonian komuniti.
Tambahnya, komuniti Parlimen Alor Gajah khasnya dan negeri ini amnya turut tidak melepaskan peluang, mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan tahniah kepada Ahli Parlimen Alor Gajah kerana dipilih menganggotai jemaah menteri sebagai Menteri Pembangunan Usahawan.
Yang turut hadir dalam majlis tersebut adalah Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Khalil Yaakob serta beberapa barisan kepimpinan negeri. – UTUSAN ONLINE











