PUTRAJAYA 20 Julai – Laporan penuh hasil siasatan tragedi pesawat Malaysia Airlines MH370 akan dibentangkan kepada ahli keluarga dan waris mangsa serta masyarakat umum pada 30 Julai ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, pihaknya bagaimanapun akan memberi penghormatan dengan memberi taklimat tertutup kepada ahli keluarga dan waris mangsa terlebih dahulu pada hari berkenaan.
“Pembentangan itu akan dilakukan oleh Ketua Penyiasat Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) Malaysia bagi MH370, Datuk Kok Soo Chon.
“Beliau kemudian akan memberikan sidang media pada sebelah petang selepas pembentangan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata, pembentangan hasil laporan siasatan berkenaan telah mendapat kelulusan mesyuarat Kabinet pada Rabu lalu.
Katanya, pihaknya telah mencetak 1,000 salinan laporan berkenaan untuk diserahkan untuk ahli keluarga dan mangsa selain turut diedarkan kepada pihak media dan kedutaan-kedutaan asing.
“Bagi masyarakat umum laporan boleh diakses menerusi laman web kementerian pada hari sama selepas taklimat kepada keluarga dan waris mangsa,” katanya.
Ujar beliau, laporan berkenaan akan turut dibentangkan kepada ahli Dewan Rakyat di Parlimen pada 31 Julai ini.
Pesawat MH370 hilang sejak 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 298 penumpang dan anak kapal serta siasatan mendapati pesawat itu berakhir di dasar Lautan Hindi. – UTUSAN ONLINE










