WASHINGTON – Agensi-agensi perisikan Amerika Syarikat (AS) percaya korea Utara telah meningkatkan pengeluaran minyak untuk senjata nuklear di beberapa tapak rahsia dalam beberapa bulan ini dan cuba menyembunyikannya ketika rundingan dengan AS, kata NBC News memetik pegawai negara itu.
Dalam satu laporan Jumaat lalu, rangkaian berita tersebut berkata, penilaian perisikan AS terkini itu adalah ekoran kenyataan oleh Presiden AS, Donald Trump yang memuat naik status di Twitter semasa sidang kemuncak dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada 12 Jun lalu yang mengatakan tiada lagi ancaman nuklear daripada Pyongyang.
NBC memetik lima pegawai AS enggan dikenali yang memberitahu dalam beberapa bulan ini, Korea Utara meningkatkan pengeluaran pengayaan uranium untuk senjata nuklear walaupun terikat dalam proses diplomasi bersama Washington.
Rangkaian penyiaran itu memetik bahawa pegawai AS mengatakan penilaian perisikan menyimpulkan bahawa Korea Utara mempunyai lebih daripada satu tapak rahsia senjata nuklear selain fasiliti pengeluaran minyak nuklear di Yongbyon yang diketahui.
“Terdapat bukti jelas yang tidak boleh dinafikan bahawa mereka cuba menipu AS,” lapor NBC.
Agensi Perisikan Pusat (CIA) enggan memberi kenyataan terhadap laporan NBC. Jabatan Negara AS berkata, mereka tidak mengesahkannya. White House juga tidak memberi sebarang respon ketika diminta memberi komen.
“Kerja menipu jumlah fasiliti, senjata dan misil sedang berjalan,” kata seorang pegawai perisik. – Reuters










