Kontrak Zecon Bhd. bakal ditamatkan susulan kelewatan menyiapkan Hospital Petra Jaya - Utusan Malaysia

Kontrak Zecon Bhd. bakal ditamatkan susulan kelewatan menyiapkan Hospital Petra Jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA SAMARAHAN – Kontrak syarikat pembinaan, Zecon Bhd. bakal ditamatkan selepas kegagalan menyiapkan Hospital Petra Jaya di Kuching, Sarawak mengikut tempoh masa ditetapkan.

Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat keputusan itu selepas kontraktor itu tidak menyiapkan hospital tersebut mengikut jangka masa ditetapkan iaitu November tahun lalu.

Menurutnya, projek yang bermula pada 23 Mei 2013 itu dijadualkan siap November lalu namun kerja-kerja pembinaannya baru siap 34.5 peratus dengan baki bayaran sebanyak RM350 juta.

“Saya akan membawa perkara ini ke kabinet menerusi Kementerian Kewangan esok bagi membuat keputusan lanjut dan buat masa ini, cadangan membatalkan kontrak itu dilihat bertepatan kerana kelewatan mereka menyiapkan projek ini.

“Untuk itu, Zecon Berhad akan meneruskan kerja-kerja pembinaan seperti biasa sehinggalah keputusan dimuktamadkan,” katanya ketika sidang akhbar di Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, sekiranya keputusan pembatalan itu dipersetujui, makanya kerja pembinaan itu nanti akan disambung Jabatan Kerja Raya (JKR).

Bercakap perkara sama, beliau juga akan meneliti perkembangan pembinaan Hospital Sri Aman, Sarawak yang sudah lama terbengkalai.

“Kita menyedari ada sekitar 23 projek pembinaan hospital dan klinik seluruh negara yang berada dalam zon merah juga,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN