KUALA LUMPUR – Konsert Twiceland Zone 2: Fantasy Park di Kuala Lumpur daripada kumpulan terkenal K-Pop, Twice yang dijadualkan berlangsung pada malam ini di Stadium Melawati, Shah Alam terpaksa dibatalkan pada saat akhir.
Menurut pihak pengurusan Twice, JYP Entertainment, pembatalan konsert tersebut dibuat berikutan faktor keselamatan di lokasi.
“Dukacita kami memaklumkan konsert Twiceland Zone 2: Fantasy Park di Kuala Lumpur yang sepatutnya berlangsung pada hari ini , 28 Julai 2018 telah dibatalkan atas sebab keselamatan di lokasi.
“Kami berharap agar kalian menghormati keputusan yang telah diambil kerana keselamatan artis dan penonton merupakan keutamaan kami.
“Kami juga berasa sedih atas pengumuman ini dan diharapkan peminat akan terus memberi sokongan kepada Twice,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Pembatalan konsert tersebut lantas membuatkan peminat meluahkan rasa tidak puas hati di media sosial berikutan pemberitahuan tersebut dilakukan dalam tempoh kurang dari sehari.
Tiket konsert anjuran IME itu dijual pada harga RM388, RM468, RM568, RM638 dan RM688.
Kumpualan Twice dianggotai oleh Nayeon, Jeongyeon, Momo, Sana, Jihyo, Mina, Dahyun, Chaeyoung dan Tzuyu. – K! ONLINE










