KUALA LUMPUR 2 Julai – Selepas sedekad bergelar anak seni, Imran Ajmain kini berkesempatan mengadakan konsert mini balada Melayu, Sepuluh Tahun Pertama yang akan diadakan di Studio Recital, Esplanade, Singapura pada 13 Julai ini.
Konsert mini tersebut didedikasikan sempena sambutan ulang tahun sedekad penglibatannya sebagai penggiat seni serta minggu Pesta Raya – Festival Seni Melayu yang berlangsung di Esplanade pada 12 Julai hingga 15 Julai ini.
Imran yang mula dikenali dengan karya popular, Seribu Tahun meluahkan rasa lega dengan sambutan penjualan tiket yang memberansangkan sebaik dilancarkan secara atas talian sejak sebulan lalu.
Menurut Imran yang juga Pengarah Kreatif SukaSucre Group of Companies, dia mengakui berdebar menanti hari berlangsung konsert tersebut yang dianggap cukup signifikan dalam profil serta kerjaya seninya.
“Sejujurnya, saya berasa teruja dan waktu sama berdebar apabila berpeluang untuk muncul dalam sebuah konsert mini sulung apatah lagi diadakan di Esplanade yang merupakan salah satu impian saya sebagai artis.
“Begitupun, perasaan berdebar ini berjaya membangkitkan semangat luar biasa buat saya selepas mengetahui tiket sudah terjual hampir 90 peratus sebaik sahaja dilancarkan.
“Justru saya akan memastikan memberikan yang terbaik pada persembahan itu nanti,” katanya.
Bercakap tentang persediaan konsert mini itu, Imran menjelaskan, dia akan diiringi 15 pemuzik profesional dari Singapura sepanjang persembahan berdurasi hampir dua jam itu.
“Saya kini lebih kerap berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Singapura untuk menghadiri sesi latihan dengan para pemuzik selain bagi mendapatkan keserasian kami apabila bergabung di atas satu pentas sama nanti.
“Pada waktu sama, saya akan lebih mengambil berat terhadap soal kesihatan supaya dapat mengekalkan stamina ketika membuat persembahan nanti. Saya meletakkan harapan tinggi untuk memberi kepuasan kepada peminat yang hadir,” ujar Imran.
Tiket berharga S$27 (RM80) boleh dibeli dengan menghubungi Esplanade Box Office di talian (65) 68288389 atau e-mel [email protected]. Para pelajar dan golongan senior boleh mendapatkan diskaun dengan harga S$21 (RM63).
Menariknya, lagu-lagu terbaharu Imran juga bakal didendangkan semasa konsert mini ini termasuk Sentiasa Merinding dan Intan & Perak.
Sebuah slot khas bakal dipersembahkan oleh Imran yang merupakan anak kepada penerbit, penyusun muzik dan penggubah lagu terkenal untuk para penyanyi era 80-an, Ahmad Husaini Ajmain sebagai penghargaan serta memberi apresiasi tertinggi buat arwah bapanya.
Populariti arwah bapa Imran mengharum indah selepas bekerjasama dengan nama-nama besar industri seni seperti Othman Hamzah, Sweet Charity, Salwa Abdul Rahman, Salimah Mahmood dan Azean Irdawaty.
Imran yang pernah terlibat dalam pembikinan album antaranya untuk Taufik Batisah, SleeQ dan Hady Mirza pernah menghasilkan empat buah album.
Dan album kelimanya sedang direncanakan untuk pelancaran dijadualkan penghujung tahun ini. – UTUSAN ONLINE











