CADANGAN Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) supaya kakitangan sektor awam menyumbang secara sukarela kepada Tabung Harapan Malaysia termasuk usaha untuk membantu kepada perkara kebaikan. Ini selayaknya disokong dengan fikiran terbuka dan lapang dada dalam usaha membantu meringankan beban hutang negara yang meruncing ketika ini.
Namun begitu dicadangkan supaya konsep wakaf tunai digunapakai bagi menarik minat golongan pekerja Muslim untuk menyumbang, sekali gus meraih ganjaran berpanjangan buat selama-lamanya. Ini bersandarkan riwayat yang menyebutkan: “Apabila mati anak Adam terputus amalannya kecuali pada tiga perkara – sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakan kedua ibu bapanya.” (Riwayat Muslim).
Walaupun tidak terdapat ayat al-Quran secara spesifik yang menyebut tentang wakaf, sedekah jariah dalam hadis tersebut dirujuk oleh kalangan ulama sebagai wakaf yang dikekalkan modalnya hanya manfaat atau hasilnya digunakan untuk kepentingan golongan yang ditentukan dikenali sebagai wakaf khas ataupun untuk sebarang tujuan kebajikan yang dikenali sebagai wakaf am.
Baginda Nabi SAW dikatakan sebagai individu yang mula-mula mewakafkan tanah yang dibeli dengan nilai 800 dirham untuk pembinaan Masjid Nabawi selain mewakafkan harta peninggalan seorang Yahudi bernama Mukhairiq yang terkorban dalam Peperangan Uhud. Amalan ini diikuti oleh para sahabat sehingga disebutkan bahawa tidak ada seorang pun daripada kalangan sahabat Nabi SAW yang tidak mewakafkan harta milik mereka.
Sunah berwakaf diteruskan hingga ke hari ini dengan sejarah mencatatkan bagaimana wakaf pernah berperanan sebagai pemangkin ekonomi negara dan kesejahteraan ummah suatu ketika dahulu. Konsep wakaf pernah digunakan oleh para sahabat untuk menyediakan aset ketenteraan.
Konsep wakaf pernah digunakan untuk membayar gaji pegawai kerajaan, guru selain menyediakan biasiswa kepada pelajar memerlukan. Pada zaman pemerintahan Turki Uthmaniyyah, wakaf digunakan untuk membangun gedung perniagaan, institusi pendidikan, kawasan rehat dan rawat untuk pengembara dan tempat mandi awam. Malah direkodkan bahawa kerajaan Mesir pernah meminjam dana wakaf al-Azhar untuk menampung keperluan perbelanjaan kerajaan akibat masalah kegawatan ekonomi yang melanda Mesir suatu ketika dahulu.
Jika diteliti amalan berwakaf di Malaysia juga bukanlah asing. Sejak kemasukan Islam ke alam Melayu, masyarakat Islam mula mewakafkan harta untuk pembinaan masjid, madrasah selain wakaf tanah untuk perkuburan.
Dalam bentuk kontemporari, wakaf digunakan untuk membangunkan hotel, pusat perniagaan, membangun aset wakaf di Segi Tiga Emas Kuala Lumpur, membangunkan hospital dan klinik wakaf, menyediakan rawatan kesihatan, wakaf dalam bidang perladangan dan aktiviti pertanian selain pembiayaan wakaf pendidikan tinggi oleh universiti tempatan.
Justeru, berdasarkan catatan sejarah, konsep wakaf untuk pembangunan negara signifikan untuk dilaksanakan. Bagaimanapun ia memerlukan sedikit masa untuk meneliti dan mengkaji mekanisme pelaksanaannya agar tidak tersasar daripada landasan sebenar.
Yang mana rangka kerja dasar bagi merealisasikan cita-cita tersebut telah pun dimulakan di peringkat akar umbi oleh rakan-rakan ahli akademik dan pakar dalam bidang wakaf di Malaysia melalui inisiatif yang dimulakan oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (Wazan), Universiti Putra Malaysia (UPM) baru-baru ini. Malah dengan konsep wakaf, sumbangan pewakaf kekal hanya manfaatnya digunakan secara konsisten.
Jika diteliti usaha sebegini juga pernah dilakukan ketika oleh orang Melayu yang menderma untuk pembinaan Kolej Islam Malaya pada 1955. Dalam masa singkat sejumlah dana berjaya dikumpulkan, malah kalangan istana dan ahli perniagaan Cina turut sama menyumbang. Almarhum Sultan Hishamudin Alam Shah misalnya mewakafkan sebahagian daripada tanah Istana Jamiah, Kampung Jawa, Klang, Selangor untuk kegunaan Kolej Islam Malaya selain Tan Sri Lee Kong Chian dan The Shaw Brothers mendermakan sebanyak RM50,000 untuk tujuan tersebut.
Disebutkan juga bagaimana masyarakat Islam di Singapura pada ketika itu telah mengadakan kempen mogok lapar demi untuk mengurangkan perbelanjaan harian seterusnya didermakan untuk pembinaan Kolej Islam Malaya.
Sungguhpun begitu, apapun yang akan dicadangkan kepada pihak kerajaan kelak tidak akan menjadi kenyataan jika masyarakat masih melihat wakaf dalam konteks tradisi seperti wakaf untuk pembinaan masjid dan tanah perkuburan yang sememangnya relevan sepanjang zaman. Namun begitu masyarakat diajak untuk berfikiran terbuka dan membuka luas pintu wakaf dalam konteks yang menyeluruh sehingga turut serta berwakaf untuk mengurangkan bebanan hutang negara.
Bayangkan bagaimana dengan nilai sekurang-kurangnya RM10 yang diwakafkan boleh dimanfaatkan negara yang mana pewakaf meraih ganjaran berlipat kali ganda selama-lamanya. Malah inilah juga tanda individu Muslim bersyukur atas nikmat gaji dan pendapatan bulanan yang diperoleh dengan menginfakkan sebahagian harta fi sabilillah. Allah SWT berfirman maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebajikan (yang sempurna) sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui”. (Terjemahan al-Quran, Surah ‘Ali Imran 3:92)
Dalam pada itu, pihak persendirian yang terlibat menguruskan dana wakaf dinasihatkan tidak membelakangkan peruntukan enakmen negeri yang mensyaratkan semua wakaf didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri bagi mengelak gejala ketirisan dan penyelewengan dana awam yang mencalarkan imej Islam dan ummah.
Usah teruja dengan keseronokan untuk meraih ganjaran berganda tetapi gagal menguruskan wakaf dengan sempurna sehingga niat pewakaf tidak kesampaian malah pengurus dana pula terpalit dengan dosa yang tidak disangka-sangka.
DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.











