JAKARTA 4 Julai – Kapten feri KM Lestari yang karam semalam dilaporkan berjaya mengemudi kapal tersebut ke kawasan terumbu bagi membolehkan operasi mencari serta menyelamat (SAR) dilakukan biarpun sekurang-kurangya 34 penumpang disahkan terkorban.
Feri tersebut membawa kira-kira 140 penumpang dan berpuluh-puluh kenderaan ketika karam berhampiran Pulau Selayar, Sulawesi Selatan.
Beberapa imej di lokasi kejadian menunjukkan banyak penumpang berpaut pada bahagian sebelah feri yang hampir karam manakala ada antara mereka terapung di permukaan laut sambil menunggu bantuan tiba.
Menurut agensi bencana Indonesia, 41 penumpang dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut manakala hampir 70 yang lain berjaya diselamatkan.
Jurucakap Kementerian Pengangkutan Indonesia, Agus H. Purnomo memaklumkan bahawa sejumlah bot kecil termasuk bot nelayan digunakan untuk menyelamatkan mangsa ekoran keadaan cuaca buruk menyukarkan kapal lebih besar memasuki lokasi kejadian.
“Kumpulan mangsa terakhir dibawa keluar dengan bot kecil pada pukul 12.05 pagi (waktu tempatan) dan kapten serta pemilik feri berkenaan merupakan antara orang terakhir meninggalkan feri berkenaan,” katanya.
Feri sepanjang 48 meter itu dalam perjalanan dari Sulawesi ke Pulau Selayar ketika karam akibat dipukul angin kencang serta ombak besar, selain dilaporkan membawa wang tunai berjumlah dua juta rupiah (RM563) untuk dihantar ke sebuah cawangan bank tempatan bagi membayar bonus kepada penjawat awam di Selayar.
Namun, wang tunai beserta dua pegawai yang bertanggungjawab dilaporkan hilang dalam kejadian tersebut. – AFP











