SUNGAI PETANI – Kerajaan negeri mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan di negeri ini mengambil tindakan menutup kilang mengitar semula sisa barang plastik yang dikesan beroperasi tanpa lesen dan melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Alam Sekitar negeri, Ooi Tze Min berkata, tindakan tegas itu perlu diambil untuk mengelakkan aktiviti kilang terbabit yang dibimbangi boleh menyebabkan pencemaran udara dan air.
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada JAS negeri, terdapat sebanyak 40 kilang mengitar semula barang plastik yang beroperasi di Kedah.
Katanya, sebanyak 30 kilang berkenaan beroperasi di Sungai Petani dan selebihnya menjalankan operasi di Kulim dan Alor Setar.
“JAS dan pihak berkuasa telah mengeluarkan notis amaran terhadap beberapa kilang terbabit semalam (kelmarin) selepas dikesan melanggar SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.










