KUALA LUMPUR 9 Julai – Tindakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan tiga akaun CIMB anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa dibekukan, dipertikai kerana disifatkan bermotif peribadi.
![]() |
|
LOKMAN NOOR ADAM
|
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam berkata, tindakan pembekuan itu yang turut melibatkan akaun Junior Saver Adam Razak, iaitu anak kepada Nooryana yang baharu berumur 10 bulan, dibuat tanpa asas perundangan yang sah.
Malah kata beliau, tindakan itu jelas memperlihatkan kerajaan Pakatan Harapan yang memerintah ketika ini mengamalkan konsep ‘Rule of the Jungle’ dan bukannya ‘Rule of Law’.
“Tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang sebelum ini mendakwa pembekuan akaun tersebut adalah tindakan Bank Negara Malaysia (BNM) sebenarnya penipuan, kerana jelas surat arahan pembekuan itu telah dikeluarkan oleh SPRM.
“Ini adalah satu tindakan tidak wajar dan tidak berlandaskan perundangan yang sah sebaliknya lebih bermotifkan dendam. Apakah asas mereka beku akaun kanak-kanak ini dan kaitannya dengan siasatan kes 1MDB?. Ia jelas menunjukkan kerajaan kini amalkan pemerintahan ‘Law of the Jungle’,” katanya ketika ditemui di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Jalan Duta di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE.











