KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) bersedia menanggung dosa sekiranya gagal melaksanakan janji-janji yang terkandung di dalam manifesto parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (gambar kecil) berkata, ini berikutan, kerajaan sedar bahawa terdapat banyak rintangan yang menyukarkan mereka merealisasikan janji-janji berkenaan kepada rakyat.
Bagaimanapun menurutnya, kerajaan tidak pernah menganggap manifesto tersebut sebagai al-Quran atau Bible yang mengikat mereka sehingga tidak boleh bergerak.
“Apabila kita laksanakan (manifesto), ada banyak rintangan yang dihadapi seperti undang-undang lama yang digubal kerajaan sebelum ini selain pegawai yang dahulu bersih daripada jenayah kini tidak dapat laksanakan tugas dan perlu ditukar.
“Semua itu menjadi halangan kepada kerajaan untuk melaksanakan janji kepada rakyat dan sekiranya kami berdosa, ia ditanggung bersama-sama,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini semalam.










