PERTH – Rancangan untuk membina sebuah memorial untuk memperingati kru dan penumpang Penerbangan MH370 milik Malaysia Airlines yang hilang dibatalkan di Australia semalam selepas dibantah waris mangsa.
Tempat bersemadi kapal terbang jenis Boeing 777 bersama 239 orang itu, yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada Mac 2014, masih belum diketahui di sebalik pencarian besar-besaran di luar pantai barat Australia.
Kerajaan negeri Australia Barat dan persekutuan merancang untuk membina monumen itu di Perth pada 2014 tetapi saudara-mara mangsa berkata, mereka tidak mahu ia didirikan sehingga pesawat MH370 ditemui.
“Walaupun sesetengah waris mangsa menyokong pembinaan memorial ini, sebahagian yang lain membantah,” kata Ketua Menteri Australia Barat, Mark McGowan dalam satu kenyataan.
“Adalah diputuskan demi kepentingan semua pihak terbabit, pembinaan memorial ini ditangguhkan buat masa sekarang. Kami percaya keputusan ini adalah wajar,” tambahnya.
Satu pertandingan untuk memorial itu yang sepatutnya dibina di bagan Eliabeth Quay, pusat bandar Perth, dilancarkan awal tahun ini.
Dalam pada itu, seorang waris mangsa MH370, Danica Weeks memberitahu akhbar tempatan, The West Australian bahawa kerajaan sepatutnya tidak membazirkan tenaga berhubung perkara itu.
“Tenaga itu sepatutnya digunakan bagi mencari MH370,” katanya. – AFP











