Kemalangan feri di Indonesia - Utusan Malaysia

Kemalangan feri di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA – Kira-kira 70 orang maut atau hilang selepas sebuah feri terdampar di luar pantai Indonesia, demikian menurut angka korban rasmi yang dikemas kini semalam.

Tragedi tersebut merupakan kemalangan maut maritim terbaharu di Indonesia.

Feri KM Lestari Maju membawa seramai 190 penumpang dan berpuluh-puluh kenderaan apabila kerosakan pada badannya memaksa nakhoda mendamparkan feri tersebut sekitar 300 meter di luar Pulau Selayar, dekat Pulau Sulawesi tengah hari kelmarin.

Memuatkan artikel berkaitan…

Imej dari lokasi kejadian menunjukkan sesetengah penumpang berpaut pada sisi feri yang hampir terbalik itu, manakala sebahagian lagi terapung di laut sementara menunggu bantuan sampai.

Ombak menghempas dek feri itu dan menghanyutkan trak serta kenderaan lain ke dalam laut ketika anggota-anggota penyelamat bertarung dengan laut bergelora untuk menyelamatkan mangsa.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) menyatakan, seramai 29 orang terkorban dalam kemalangan itu, manakala 41 lagi masih hilang. Hampir 70 orang telah diselamatkan, tambah BNPB.

Sekumpulan bot kecil termasuk bot nelayan tempatan digunakan untuk menyelamatkan penumpang ekoran cuaca buruk menghalang kapal lebih besar daripada menghampiri feri tersebut, kata kementerian pengangkutan.

Menurut kementerian tersebut, sebahagian besar penum­pang feri memakai jaket ke­selamatan.

“Penumpang terakhir di atas feri itu dipindahkan pagi ini (semalam) sekitar pukul 12.05 pagi (waktu tempatan),” kata pengarah di kementerian pengangkutan, Agus H. Purnomo.

Pasukan penyelamat masih mencari di laut dan tepi pantai untuk menemui penumpang yang hilang.

Feri sepanjang 48 meter itu belayar dari Sulawesi ke Pulau Selayar apabila angin kencang dan ombak besar menyebabkan badannya rosak dan dimasuki air.

Kapten feri sengaja mendamparkan feri itu ke tepi pantai dalam usaha mengurangkan risiko karam di laut, kata kementerian pengangkutan.

Feri itu turut membawa mata wang rupiah bernilai kira-kira AS$2 juta (RM8 juta) untuk cawangan sebuah bank tempatan di Pulau Selayar bagi membayar bonus kakitangan awam. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN