Kemalangan ADUN Balakong tiada unsur jenayah - Utusan Malaysia

Kemalangan ADUN Balakong tiada unsur jenayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Polis menolak kemungkinan berlakunya sebarang aktiviti jenayah dalam kemalangan maut melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balakong, Ng Tien Chee awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yusoff berkata, siasatan awal telah dilakukan dan tidak menemui sebarang kemungkinan berlakunya kegiatan jenayah dalam kemalangan tersebut.

“Siasatan awal mendapati mangsa yang memandu di lorong tengah cuba memotong sebuah Perodua Myvi di hadapannya, namun gagal lalu merempuh bahagian belakang sebelah kiri sebuah lori pembersih lebuh raya di lorong paling kanan yang sedang melakukan aktiviti pembersihan.

“Saya turut pergi ke lokasi kejadian dan menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa terdapat kesan minyak di atas jalan raya. Kesan minyak tersebut adalah kesan akibat kemalangan yang berlaku,” katanya ketika ditemui di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

Menurut Ahmad Dzaffir, pihaknya sedang menunggu laporan bedah siasat yang dilakukan oleh Hospital Serdang.

“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujar beliau.

Terdahulu, Tien Chee dilaporkan maut selepas kereta jenis Nissan Xtrail dipandunya merempuh sebuah lori pembersih jalan dalam kemalangan di Kilometer 11.7 Lebuh Raya Grand Saga.

Akibat kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 12.40 malam itu, Tien Chee yang sedang dalam perjalanan menghala ke Kajang dari ibu kota maut di tempat kejadian. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN