KUALA LUMPUR 19 Julai – Seorang juruteknik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang penjawat awam wanita dengan menggunakan spanar, tiga tahun lalu.
Muhammad Faiz Amran, 27, didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Siti Maisarah Mohd. Sa’ad, 34, di Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Presint 14, Putrajaya, kira-kira pukul 7.30 malam, 16 Januari 2015.
Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Aris Kamaluddin mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.
Hakim Rohatul Akmar Abdullah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali setiap bulan, dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan menetapkan 15 Ogos ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN ONLINE










