KUALA LUMPUR – Proton Holdings Bhd. mencatatkan pertumbuhan jualan bulan ke bulan sebanyak 50 peratus bersamaan dengan 6,173 unit pada Jun 2018 hasil daripada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang berkadar sifar selain promosi syarikat itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Abdul Rashid Musa berkata, bahagian pasaran pengeluar kereta nasional itu juga meningkat kepada 10 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan industri semasa bulan tersebut berbanding 9.5 peratus pada Mei 2018.
“Proton mencatatkan bulan jualan terbaiknya bagi 2018 pada Jun, membuktikan rakyat Malaysia masih berminat dengan model-model terbaharu kereta Proton berikutan ciri-ciri menarik dalam reka bentuk setiap modelnya.
“Tawaran promosi menarik yang kami tawarkan, harga tanpa GST dan peningkatan keseluruhan kualiti kereta kami membantu meningkatkan jualan. Kami berharap ia akan berterusan sehingga tempoh berbaki 2018,” katanya dalam satu kenyataan semalam.











