KLUANG – Kerajaan Johor memperuntukkan RM450,000 tahun ini untuk disalurkan kepada sembilan sekolah menengah persendirian Cina di negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
Beliau berkata, sekolah berkenaan adalah Sekolah Tinggi Persendirian Chong Hwa di Muar, Sekolah Menengah Persendirian Pei Hwa di Tangkak, Sekolah Tinggi Chong Hwa di sini, Sekolah Tinggi Yong Peng dan Sekolah Tinggi Persendirian Pei Chun di Pontian.
Sekolah lain ialah Sekolah Tinggi Cina Batu Pahat, Sekolah Tinggi Chong Hwa Rengit, Sekolah Menengah Foon Yew di Kulai serta Sekolah Menengah Foon Yew di Johor Bahru, yang masing-masing menerima RM50,000.
“Saya mengambil kesempatan malam ini untuk mengumumkan beberapa perkara demi kebaikan bersama sebagai sumbangan dan juga oleh-oleh yang bukan sahaja untuk Sekolah Chong Hwa, bahkan beberapa sekolah lain.
“Kami (kerajaan Pakatan Harapan) akan cuba menunaikan janji pilihan raya kami secepat mungkin. Yang paling penting sekali, kami tidak akan mengabaikan sesiapa yang berjuang bersama untuk membina semula negara kita.
“Tanpa sekolah-sekolah yang terus membuka minda para pelajar, menanam benih minda yang betul kepada pelajar, kita tidak akan mempunyai masyarakat yang membuat keputusan bijak buat negara ini,” katanya dalam ucapannya pada majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Sekolah Menengah dan Rendah Chong Hwa Kluang di sini malam tadi. – Bernama










