PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendapat maklumat bahawa ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low telah melarikan diri ke Macau.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, maklumat berkenaan diperoleh menerusi sepasukan pegawai polis yang dihantar menjejaki Jho Low di Hong Kong.
“Maklumat terbaharu yang pihak polis terima dia (Jho Low) berada di Macau. Kita telah menghantar pasukan ke Hong Kong tetapi apabila sampai di sana, Jho Low ke Macau,” katanya.
Mohamad Fuzi berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang dihadiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di bangunan kementerian berkenaan di sini hari ini.
Semalam, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali memberitahu, pasport antarabangsa milik Jho Low telah dibatalkan oleh Jabatan Imigresen pada malam Hari Raya Aidilfitri, 15 Jun lalu.
Pembatalan pasport Jho Low, 36, dibuat atas permohonan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berhubung siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – K! ONLINE











