PUTRAJAYA – Kerajaan membentuk sebuah jawatankuasa bagi meneliti isu permohonan kewarganegaraan yang sudah lama tertangguh, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata, jawatankuasa itu yang melibatkan kementeriannya dan Kementerian Sumber Manusia ditubuhkan selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
“(Jawatankuasa) ini untuk meneliti perkara berkaitan dengan isu kewarganegaraan, kad pengenalan merah dan beberapa kes-kes tertangguh yang belum dapat diselesaikan seperti mana yang kita janjikan dalam manifesto Pakatan Harapan iaitu kaum minoriti India dan lain-lain termasuk Melayu yang setakat ini belum mendapat sijil kewarganegaraan atas sebab tertentu, walaupun sudah lama berada di Malaysia atau memang berasal dari Malaysia,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau sebelum itu mengadakan lawatan ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini yang turut disertai Timbalannya yang baru dilantik Datuk Mohd Azis Jamman.
Muhyiddin berkata, pihaknya yakin mampu menyelesaikan sebahagian daripada permohonan berkenaan dalam tempoh kira-kira dua minggu lagi serta menyampaikan dokumen kewarganegaraan kepada mereka yang layak. – Bernama











