KUALA LUMPUR 17 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa berpandangan mana-mana rakyat Malaysia termasuk golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) tidak harus didiskriminasikan di tempat kerja.

Ini susulan peletakan jawatan Numan Afifi sebagai pegawai khas kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada awal bulan ini setelah menerima kritikan banyak pihak kerana didakwa memperjuangkan hak LGBT dan tidak sepatutnya dilantik sebagai kakitangan kementerian berkenaan.
Mujahid menjelaskan, golongan berkenaan tidak boleh diketepikan daripada keadilan di negara ini.
“Saya amat konsisten berhubung isu ini. LGBT atau tidak, selagi mereka tidak menjadikannya sebagai budaya untuk mempromosi, maka tidak ada sebarang masalah.
“Namun, berdasarkan isu kerakyatan, mereka tidak boleh didiskriminasikan di tempat kerja dan tidak boleh diketepikan daripada keadilan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Numan sebelum ini merupakan pentadbir bagi kumpulan WhatsApp untuk menyelaraskan jadual kerja Syed Saddiq dan pihak media selepas Ahli Parlimen Muar itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Ketika diminta mengulas peletakan jawatan Numan, Mujahid berkata, beliau enggan memberi sebarang komen memandangkan tindakan itu dilakukan atas kerelaan individu tersebut.
“Dia letak jawatan atas kerelaan, jadi apabila sesuatu dilakukan atas kerelaan maka itu adalah pilihan dia.
“Saya tidak mahu komen terhadap seseorang yang memilih untuk meletak jawatan tanpa sebarang tekanan. Jika ada (tekanan), beliau harus buktikannya,” katanya.










