Jangan cicirkan 
nama Khairul Hafiz - Utusan Malaysia

Jangan cicirkan 
nama Khairul Hafiz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Julai – Sekalipun peluang meraih pingat tipis, jurulatih pecut negara, Mohd. Poad Md. Kassim berharap Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mempertimbangkan penyertaan Khairul Hafiz Jantan ke Sukan Asia Indonesia selepas dia melakar masa peribadi terbaiknya tahun ini.

Poad berkata, catatan 10.28 saat dalam acara 100 meter yang dilakukan Khairul Hafiz pada Kejohanan di Besigheim, Jerman semalam adalah satu peningkatan yang baik selepas gagal menyerlah dalam Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Jelasnya, temasya di Jakarta-Palembang yang akan bermula bulan depan merupakan medan terbaik buat Raja Pecut Asia Tenggara itu menimba ilmu dan bersaing dengan atlet bertaraf dunia lain.

“Singapura dan Brunei pun hantar atlet mereka ke sana. Mereka melihat temasya ini sebagai pendedahan dan pelaburan terbaik demi pembangunan sukan mereka.

“Memang peluang Khairul Hafiz untuk dapatkan pingat di sana agak sukar sebab dia kena bersaing dengan ramai atlet yang mencatat masa di bawah 10 saat.

“Tapi itu tak penting, yang penting dia dapat meraih pengalaman berharga sebab tahun depan kita ada Sukan SEA pula,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Khairul Hafiz sekadar disenaraikan dalam kategori B ke Sukan Asia pada 18 Ogos hingga 2 September ini, sekali gus berisiko untuk tidak menyertai temasya tersebut kerana ia bergantung kepada kantung kewangan KOM.

Untuk ke Sukan Asia menerusi tiket kategori A pelari kebangsaan perlu mendapatkan catatan masa di bawah 10.18s.

Catatan terbaik Khairul Hafiz, 20, adalah 10.18s yang juga rekod kebangsaan yang dilakukan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2018.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×