BAITULMUQADDIS 3 Julai – Parlimen Israel meluluskan undang-undang untuk membekukan wang pihak berkuasa Palestin (PA) yang dibayar kepada keluarga penduduk Palestin yang dipenjarakan kerana menyerang penduduk Israel.
Undang-undang itu diluluskan semalam sekali gus memberi kuasa kepada kerajaan Israel untuk menahan sejumlah wang bayaran kepada banduan dan keluarga masing-masing.
Israel memungut sekitar AS$127 juta (RM513 juta) sebulan berupa levi duti kastam terhadap barangan untuk pasaran di Palestin yang transit di pelabuhan-pelabuhan Israel dan kemudian dipindahkan kepada PA.
Menurut seorang ahli Parlimen yang mencadangkan undang-undang itu, PA membayar sekitar AS$330 juta (RM1.3 bilion) setahun kepada banduan dan keluarga mereka iaitu sebanyak tujuh peratus daripada bajetnya. – AFP










