Industri kreatif untungkan negara - Utusan Malaysia

Industri kreatif untungkan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 26 Julai – Kan­dungan industri kreatif seperti filem, drama dan animasi mampu menjadi eksport yang me­nguntungkan negara jika produk yang dihasilkan berkualiti, kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Untuk itu katanya, penggiat industri hiburan perlu memahami minat dan cita rasa pasaran luar negara bagi memastikan produk mereka dapat diterima dan tidak hanya bergantung kepada pasaran tempatan sahaja.

“Filem Korea dan Hindustan orang suka tengok. Kalau kita nak buat filem, nak tunjuk di negara luar, kita kena tahu apa minat mereka.

“Kerajaan boleh tolong sedikit untuk membantu seperti bidang pengiklanan dan sebagainya tetapi akhirnya kualiti filem itu yang akan menentukan ia diterima di negara asing,” katanya dalam sesi dialog bersama penggiat industri hiburan di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Antara penggiat seni yang hadir Datuk Jamal Abdillah, Rozita Che Wan, Datuk Shuhaimi Baba, Michael Ang, Fauziah Ahmad Daud, Datuk Yusof Haslam dan Datuk Norman Abdul Halim serta wakil Persatuan Penerbit Filem Malaysia.

Pada sesi dialog itu penerbit, Datuk Nancy Foo meminta keraja­an membuka peluang kepada penerbit tempatan menyertai misi perdagangan ke luar negara bagi memasarkan produk mereka memandangkan ketika ini industri hiburan hanya menyumbang satu peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Dr. Mahathir berkata, kerajaan boleh membuka peluang tersebut kepada mereka, namun penerbit perlu mengeluarkan mo­dal sendiri untuk menyertai misi perdagangan tersebut.

Mengenai permintaan supa­ya bank melonggarkan syarat pinjaman patuh syariah kepada penerbit filem dan drama serta memberikan potongan cukai berganda kepada pelabur dalam penerbitan kandungan kreatif, Dr. Mahathir berkata, perkara itu akan dibawa ke Kabinet untuk diputuskan.

Antara perkara lain yang dicadangkan ialah meletakkan pihak berkuasa berkaitan isu cetak rompak di bawah satu kementerian memandangkan ketika ini pe­nguatkuasaan dilaksanakan Ke­menterian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, manakala kuasa menghukum terletak di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Isu 25 peratus cukai hiburan yang dikutip bagi setiap jualan tiket filem oleh kerajaan negeri yang pada mulanya dipulangkan semula kepada penerbit turut disuarakan, kerana amalan itu telah dihentikan mulai tahun 2,000. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN