KUALA LUMPUR 4 Julai – Persekutuan Industri Besi dan Keluli Malaysia (MISIF) memohon kerajaan Pakatan Harapan untuk mengekalkan kadar tarif elektrik supaya industri yang menjadi antara pengguna terbesar elektrik tidak terjejas teruk seterusnya merencatkan perkembangannya di negara ini.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, MISIF berkata, industri tersebut bukan sahaja sedang dalam proses pemulihan daripada kesan penurunan harga import yang sangat teruk dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, malah ia turut dilanda pelbagai cabaran lain yang menyukarkan usahanya untuk terus berkembang maju.
“Kenaikan harga gas asli dan tarif elektrik pada separuh kedua 2018 akan menyukarkan proses pemulihan industri dan ekonomi Malaysia secara umumnya.
“Pada empat tahun kebelakangan ini, tarif gas asli telah meningkat sebanyak lapan kali yang melibatkan kos sehingga RM107 juta kepada industri besi dan keluli manakala unjuran perubahan pada kadar tarif elektrik pula dijangka melibatkan kos sebanyak RM100 juta setahun kepada industri ini,” katanya.
Minggu lalu, kerajaan melalui Suruhanjaya Tenaga mengumumkan penarikan rebat tarif elektrik sebanyak 1.52 sen/kilowatt per jam (kWj) dan peningkatan kos sebanyak 1.35 sen/kWj dilepaskan dalam bentuk surcaj ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) kepada semua pengguna bukan domestik di Semenanjung Malaysia bagi tempoh 1 Julai 2018 hingga 31 Disember 2018. – UTUSAN ONLINE











