ISLAMABAD – Bintang kriket Pakistan yang beralih arah menjadi ahli politik, Imran Khan mendakwa partinya telah mencapai kemenangan, meskipun parti lawan menuduh pilihan raya umum dicemari kelewatan dalam pengiraan undi.
Dengan kiraan undi yang masih berjalan, parti pimpinan Imran, Tehreek-i-Insaf (PTI) atau Pergerakan Keadilan Pakistan dilaporkan mendahului dalam negara Islam bersenjata nuklear itu.
Bagaimanapun, penyokong Perdana Menteri, Nawaz Sharif yang dipenjarakan berkata, proses pengiraan undi menghina demokrasi di negara yang mempunyai sejarah pemerintahan tentera itu.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan (ECP), Babar Yaqoob memberitahu, proses pengundian tertangguh akibat kegagalan teknikal sistem laporan elektronik dan kiraan kini dilakukan secara manual. Keputusan sebenar dijadualkan pada hari ini waktu tempatan.
“Tiada sebarang konspirasi atau tekanan dalam kelewatan keputusan. Ia disebabkan sistem penghantaran keputusan terjejas,” kata Babar.
Ketua ECP, Sardar Mohammad Raza turut mempertahankan proses tersebut dengan mengatakan pilihan raya diadakan 100 peratus adil dan telus, tetapi tidak dapat memutuskan waktu yang tepat bila keputusan penuh akan diumumkan.
PTI kini disenaraikan oleh ECP dalam keputusan sementara sebagai pendahulu bagi 113 daripada 272 kawasan Dewan Undangan Nasional yang dipertandingkan.
Majoriti 137 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan.
Parti pimpinan Nawaz, Liga Muslim-Nawaz (PML-N) pula mendahului di 64 kawasan, manakala Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang diketuai anak bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto menang di 42 kawasan.
Jurucakap parti Imran, Fawad Chaudhry melalui Twitter berkata: “Tahniah kepada negara baharu Pakistan! Perdana Menteri Imran Khan.”
Imran bagaimanapun secara rasmi menolak untuk mengisytiharkan kemenangan tersebut.
Walaupun Imran masih kekurangan beberapa kerusi daripada 137 yang diperlukan untuk mendapat majoriti Perhimpunan Kebangsaan, dia tidak sepatutnya menghadapi masalah mencari rakan sekutu daripada parti yang lebih kecil dan bebas.
Pengundian kelmarin dicemari tragedi pengeboman bunuh diri yang mengorbankan 31 orang berhampiran stesen pengundian di Quetta, ibu kota wilayah barat daya Baluchistan.
Kumpulan militan Daesh mendakwa melakukan serangan itu.
Pilihan raya ini menandakan pemindahan kuasa awam kedua dalam sejarah 71 tahun Pakistan. – Reuters










