Hutang alasan tangguh manifesto PRU-14 - Utusan Malaysia

Hutang alasan tangguh manifesto PRU-14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 5 JULAI – Gambaran hutang negara yang meruncing hanyalah alasan Pakatan Harapan untuk mengelak atau menangguhkan pelaksanaan manifesto Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) parti itu yang populis serta tanpa mengambil kira kemampuan negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pengiktirafan Bank Dunia terhadap Malaysia baru-baru ini bahawa hutang negara masih terkawal dan tidak akan terjerumus ke dalam krisis kewangan sama sekali menyangkal naratif hutang yang kerap dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

Tambahnya, Ketua Ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, Dr. Richard Record sendiri mene­rangkan bahawa 97.7 peratus daripada jumlah hutang negara adalah dalam ringgit, sekali gus bermakna risiko terhadap tukaran asing adalah terhad.

Memuatkan artikel berkaitan…

Oleh itu katanya, gambaran hutang negara oleh kerajaan tanpa memasukkan faktor risiko rendah tidak lengkap dan disifatkan tidak bertanggungjawab.

“Malangnya, bagi mengelak da­ripada melunaskan janji-janji ma­nifesto mereka dalam tempoh 100 hari, Pakatan Harapan memilih untuk terus menyalahkan kadar hutang negara yang digembar-gemburkan secara tidak tepat.

“Ia seolah-olah dengan sengaja ingin memburuk-burukkan imej kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sebelum ini telah memartabatkan prestasi ekonomi sehingga diiktiraf oleh Forum Ekonomi Du­nia (WEF), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semasa melancarkan Laporan Pemantau Ekonomi Malaysia (MEM) pada Isnin lalu, dengan turut dihadiri Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Bank Dunia turut melabelkan Malaysia sebagai sebuah ‘kisah kejayaan’ meskipun sering digambarkan memiliki hutang ya­ng tinggi oleh Pakatan Harapan.

Mohamed Khaled juga mengecam kerajaan Pakatan Harapan apabila sanggup menggunakan alasan hutang negara bagi membenarkan pelancaran Tabung Harapan.

“Ini sekali lagi merupakan tindakan yang kurang wajar. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, mereka tidak sepatutnya membenarkan dan menyokong inisiatif yang boleh menakutkan rakyat dengan gambaran ekonomi dan hutang yang tidak tepat.

“Adalah tidak keterlaluan jika inisiatif ini boleh dilihat sebagai satu jalan pintas dan mudah bagi kerajaan Pusat mendapatkan ha­sil,” katanya.

Jelas beliau, Kementerian Kewangan sepatutnya membenta­ng­kan dengan lebih menyeluruh tentang kedudukan hutang negara dan bukan hanya memberikan nilai keseluruhan secara kasar yang boleh menimbulkan persepsi buruk, spekulasi dan situasi panik.

“Kenyataan bahawa janji-janji PRU-14 hanya akan dilaksanakan apabila keadaan kewangan bertambah baik turut menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan tidak merancang dengan baik dan gagal mengira kos pelaksanaan sebelum menawarkan manifesto,” katanya.

Beliau mendesak kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan pentadbiran dengan telus, amanah dan bertanggungjawab, terutamanya me­ngelakkan kenyataan media yang tidak menyeluruh dan menggunakan alasan hutang untuk mengelak pelaksanaan manifesto PRU-14.

“Sebagai pihak pembangkang yang bertanggungjawab, Saya akan terus menjalankan tugas pemantauan prestasi kerajaan Pakatan Harapan demi kepentingan rakyat jelata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN