LUZHNIKI – Jurulatih Sepanyol, Fernando Hierro enggan menyalahkan pemainnya selepas mereka gagal mara ke peringkat suku akhir Piala Dunia apabila tewas kepada Rusia menerusi penentuan sepakan penalti kelmarin.
![]() |
|
SEPANYOL terpaksa akur apabila mereka tersingkir daripada saingan Piala Dunia kali ini selepas ditumbangkan Rusia menerusi penentuan sepakan penalti kelmarin.
|
Hierro menggalas tugas sebagai pengendali pasukan tiga hari sebelum kempen Piala Dunia Rusia 2018 bermula apabila Julen Lopetegui dipecat kerana menerima tawaran untuk membimbing Real Madrid bagi mengisi kekosongan tempat yang ditinggalkan oleh Zinedine Zidane.
Bekas pemain tengah Bolton Wanderers itu memberitahu, beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya ekoran kegagalan Sepanyol pada aksi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan sambil mengakui tugasnya bersama skuad kebangsaan masih kabur.
“Saya tidak risaukan tentang diri sendiri, namun apa yang lebih penting adalah kami mempunyai pemain yang luar biasa tetapi gagal menampilkan aksi seperti mana yang diharapkan.
“Sebagai jurulatih sememangnya saya perlu bertanggungjawab atas kekalahan ini kerana segala yang berlaku adalah di bawah kendalian saya.
“Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa. Saya mengambil peranan ini daripada rasa tanggungjawab dan sudah bersedia menerima sebarang risiko untuk kempen Piala Dunia kali ini.
“Kami meninggalkan kempen kali tanpa sebarang kekalahan dan itu adalah hakikatnya. Penentuan sepakan penalti yang menyebabkan kami tewas 3-4 sebenarnya adalah bergantung pada nasib, namun kami tetap menerimanya dengan hati terbuka,” kata Hierro.
Sementara itu, Hierro teruja dengan persembahan skuad La Roja yang mempunyai peratusan penguasaan bola lebih banyak berbanding pasukan lawan dan pemain berjaya menggalas tanggungjawab mereka dengan baik ketika beraksi di atas padang.
“Jika kamu meneliti keseluruhan permainan, Sepanyol lebih kerap melakukan asakan, terutamanya di bahagian sayap dan tengah dan pemain berusaha sehingga tamat perlawanan untuk mendapatkan kemenangan,” ujarnya. – Agensi












