SUBANG – Penggunaan pesawat Hercules C-130 dan helikopter Nuri Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) boleh dilanjutkan sehingga 15 tahun lagi.
Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, jangkaan tempoh itu hasil penelitian terhadap faktor keupayaan, keselamatan dan keberkesanan kedua-dua aset tersebut meskipun telah berusia kira-kira 40 tahun.
Bagaimanapun katanya, naik taraf perlu dilakukan terutama pada rangka pesawat dan sistemnya bagi mengelakkan bebanan kos operasi pada masa depan.
“TUDM ada perancangan untuk memohon peruntukkan daripada kerajaan bagi tujuan naik taraf pesawat-pesawat ini.
“Pembelian pesawat baharu memang lebih bagus namun, kita harus melihat kemampuan kewangan,” katanya pada sidang akhbar selepas istiadat perbarisan sempena sambutan Hari Ulang Tahun TUDM ke-60 di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, TUDM berhadapan isu aset-aset usang apabila 40 peratus daripada jumlah pesawat miliknya telah melepasi usia 20 tahun.
Dalam pada itu, Affendi menegaskan, pihaknya kini dalam rangka pelan induk dikenali ‘Capability 55’ atau CAP 55 dalam mentransformasikan keupayaan TUDM.
“Ini merupakan pelan jangka panjang bermula tahun 2018 hingga 2035 meliputi aspek pemodenan aset dan pembangunan modal insan bagi diseimbangkan dengan perbelanjaan pertahanan semasa.
“CAP 55 adalah penanda aras utama bagi mengukur kemampuan TUDM dalam melaksanakan peranan utamanya bagi mempertahankan ruang angkasa negara,” jelasnya.











