LETUPAN kilang mercun dan bunga api Bright Sparkle Firework di Sungai Buloh pada 7 Mei 1991 menjadi titik tolak kesedaran tentang pentingnya penekanan terhadap keselamatan industri dalam usaha negara mencapai status negara perindustrian.
Bencana itu sukar untuk ditangani kerana pada ketika itu negara kita tidak mempunyai anggota bomba yang pakar dalam pengendalian bahan kimia berbahaya sehinggakan sebanyak 26 orang disahkan maut, manakala ratusan lagi mengalami kecederaan.
Ekoran itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diminta mengambil tanggungjawab mengendalikan kemalangan yang berkaitan dengan bahan kimia berbahaya dan dengan itu, Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) ditubuhkan pada tahun 1992.
Penyelia Pasukan Hazmat C dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Tun Razak, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Rozihafizam Othman berkata, anggota bomba dalam pasukan Hazmat bukan sahaja perlu berani berdepan risiko malah perlu mempunyai pengetahuan melibatkan bahan kimia.
“Apa yang penting adalah minat. Seorang anggota Hazmat perlu sentiasa berusaha meningkatkan pengetahuan dalam mengenal pasti bahan kimia kerana setiap hari, ada sahaja bahan kimia baharu yang dihasilkan dan kita perlu bersiap sedia dengan segala kemungkinan.
Bahan berbahaya
“Setiap bahan kimia ada cara tersendiri untuk dikendalikan. Kita perlu cekap kenal pasti bahan kimia dan tampil dengan cara yang betul untuk kendalikannya. Kita tidak boleh teragak-agak kerana itu akan mendatangkan bahaya kepada anggota pasukan,” katanya ketika ditemui Mega Wira di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Mohd. Rozihafizam, anggota bomba yang terlibat dalam unit Hazmat Kuala Lumpur adalah seramai 30 orang yang diagihkan kepada tiga pasukan dan kesemuanya ditempatkan di BBP Jalan Tun Razak.
Ujarnya, situasi yang melibatkan bahan kimia berbahaya di negeri ini masih terkawal dan pihaknya kadang-kala hanya menerima panggilan kecemasan sebanyak tiga kes dalam sebulan.
“Keluasan negeri ini masih kecil jadi tidak banyak situasi membabitkan bahan kimia berlaku. Kes yang kerap diterima buat masa sekarang adalah kebocoran gas ammonia, merkuri dan klorin yang membabitkan aktiviti di makmal sekolah.
“Bagaimanapun, itu bukan alasan untuk kami leka dengan tanggungjawab kerana perkara melibatkan bahan berbahaya sentiasa berkembang. Oleh itu, kami sentiasa meningkatkan kemahiran supaya lebih profesional ketika menghadapi operasi pemadaman mahupun operasi penyelamatan,” katanya.
Mohd. Rozihafizam memaklumkan, terdapat empat sut khas yang perlu dipakai oleh anggota Hazmat apabila berdepan dengan situasi membabitkan bahan berbahaya iaitu pakaian perlindungan bahan kimia tahap 1, pakaian perlindungan bahan kimia tahap 2, sut kalis Kimia, Biologi, Radiologi, Nuklear serta Letupan Nuklear (CBRNE), dan sut Tyvek.
“Kesemua anggota Hazmat perlu membiasakan diri dengan setiap jenis sut khas tersebut kerana ia akan digunakan mengikut tahap bahaya sesuatu situasi. Pakaian perlindungan penuh seperti pakaian perlindungan bahan kimia tahap 1 juga memerlukan anggota dilengkapi dengan bantuan oksigen supaya tidak terdedah dengan bahan kimia ketika operasi.
“Pasukan Hazmat juga mempunyai jentera khas Hazmat dan ia berbeza dengan jentera bomba biasa. Peralatan di dalam jentera Hazmat juga lebih menjurus kepada pengendalian bahan berbahaya,” katanya.
Cedera bermakna operasi Hazmat gagal
Dalam sesuatu operasi membabitkan bahan kimia berbahaya, persediaan rapi dan pengetahuan mengenai cara meneutralkan bahan kimia amat penting supaya bahan bahaya tersebut tidak menjejaskan anggota terlibat dan persekitaran.
Menurut seorang anggota Hazmat BBP Jalan Tun Razak, Mohamad Naim Daud, 26, dalam setiap operasi, anggota Hazmat akan mengenal pasti terlebih dahulu bahan kimia berbahaya yang terlibat dan cara mengendalikan bahan tersebut dengan selamat.
Ujarnya, perkara tersebut amat penting kerana setiap bahan kimia mempunyai cara pengendalian yang berbeza.
“Sekiranya tersalah langkah, perkara lebih teruk boleh terjadi dan sekiranya menyebabkan kecederaan atau letupan, operasi kita akan dianggap sebagai gagal,” katanya.
Mohamad Naim berkata, dia dan pasukannya pernah menjalankan operasi kes kebocoran gas ammonia di Kilang Burger Ramly di Batu Muda, Gombak, Selangor pada tahun 2015.
“Dalam operasi tersebut, seorang anggota bomba dari BBP Gombak mengalami sesak nafas kerana ketika membuat pemeriksaan awal, anggota itu tidak tahu situasi mengakibatkan bahan kimia. Selepas itu, barulah kami diarahkan ke lokasi kejadian untuk meneutralkan bahan kimia berkenaan.
“Kami kemudiannya melakukan proses ‘leak control’ dan ‘spill control’ bagi memastikan kebocoran bahan kimia tersebut tidak mengakibatkan kebakaran atau implikasi yang lebih teruk,” ujarnya.
mencabar
Seorang lagi anggota Hazmat, Rizam Hashim, 36, berkata, dia amat berminat menyertai unit Hazmat kerana tugasnya yang mencabar dan boleh dikatakan satu unit baharu yang istimewa kerana diiktiraf dalam pengendalian bahan kimia berbahaya.
Katanya, ketika operasi, apa yang paling penting adalah keselamatan diri sendiri kerana anggota Hazmat berhadapan dengan bahan kimia yang kadangkala tidak boleh dilihat dengan mata kasar namun amat bahaya untuk kesihatan manusia.
“Disebabkan itu, pengetahuan mengenai bahan kimia amat penting bagi setiap anggota Hazmat. Selepas mendapat panggilan kecemasan, kebiasaannya kami akan terus mengkaji bahan kimia terlibat dan bersedia dengan cara pengendaliannya sejak dari dalam jentera lagi,” katanya.
Selain Mohamad Naim dan Rizam, pasukan Hazmat C BBP Jalan Tun Razak turut dianggotai Khairul Azhar Rifin, 36; Muhammad Daud Esa, 27; dan Mohd. Syakir Shahuddin, 34.










