HARGA PERSAHABATAN - Utusan Malaysia

HARGA PERSAHABATAN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYAKIRA menyeka air matanya. Hatinya seperti dicucuk dengan duri. Luka yang dalam mana mungkin pulih seperti biasa. Jika pulih pun sudah tentu parut masih ada. Dia masih lagi tidak percaya dengan apa yang berlaku. Persahabatan yang dibina selama 15 tahun hancur begitu saja. Dia rasa dia yang bersalah.

Masih diingati lagi peristiwa tersebut di masjid. Sejelas-jelasnya oleh Syakira. Mereka bertentangan mata, tanpa mengeluarkan sepatah ayat pun. Dayah memalingkan wajahnya tanpa menegur Syakira. Salam Syakira tidak terbalas. Dia terkesima dengan keadaan tersebut. Adik-beradik Dayah yang cuba menegur Syakira ditarik oleh Dayah masuk ke dalam ruang solat. Syakira berdiri di situ. Kaku.

“Kenapa ni?” tanya Mak Esah, memeluk anaknya.

“Tak ada apa, mak.” Syakira mengelap air matanya, tersenyum.

“Ini mesti pasal Dayah ni.” Seingat Mak Esah, Dayah selalu datang ke rumah mereka sejak umurnya 10 tahun lagi. Seakan tidak percaya dengan apa yang berlaku pada anaknya.

Syakira berkawan baik dengan Dayah sejak sekolah rendah. Rahsia Dayah adalah rahsia Syakira dan begitu juga sebaliknya. Mereka seperti belangkas, ke mana-mana saja pasti berdua. Meskipun mereka melanjutkan pelajaran di tempat yang berbeza namun mereka berdua tetap berhubung. Kadangkala melalui panggilan telefon atau video.

Syakira percaya persahabatan mereka utuh dan akan kekal selamanya. Entah mengapa, dia berasa begitu serasi dengan Dayah. Seolah-olah mereka ditakdirkan untuk bersahabat buat selamanya.

Dayah pernah berjanji, dia akan menjadi sahabat buat Syakira buat selamanya. Itu janjinya. Namun, janji hanya tinggal janji. Bila ego menguasai diri, segalanya tidak dapat terhalang lagi. Tindakan Dayah mencemarkan nama Syakira. Entah bila masanya, Dayah menolak kerja yang telah ditawarkan oleh bekas majikan Syakira dengan cara mematikan telefon. Syakira dituduh sebagai tidak professional. Di tempat kerjanya, dia diperli oleh majikannya.

Atas dasar nama kawan, Syakira tidak berkira. Dia mahu Dayah gembira. Dia mahu Dayah dapat kerja. Sudah beberapa bulan setelah Dayah tamat ijazah sarjana muda, dia masih lagi tidak mempunyai pekerjaan. Syakira pun tidak kisah untuk berkorban masa, wang atau tenaga atas nama sahabat. Sahabat sampai mati.

Lain pula jadinya. Apabila ditanyakan soalan tersebut mengapa Dayah menolak daripada pergi temuduga, dia kaku tidak menjawab. Sedangkan Syakira tahu Dayah memilih kerja. Dia tidak mahu kerja pasar raya. Sedangkan sebelum ini Dayah jugalah yang merayu-rayu kepadanya supaya carikan kerja. Asalkan namanya kerja, itu sudah memadai.

Syakira tidak marah Dayah yang sudah pun ada pekerjaan, namun dia mahu kawan baiknya itu bertindak secara profesional dalam menolak tawaran pekerjaan. Bagi Syakira, Dayah tidak profesional. Tindakannya itu mencemarkan namanya. Ironinya, Dayah yang menyimpan kemarahan kepada Syakira.

Syakira memeluk erat Mak Esah. Entah mengapa, hatinya retak seribu. Walaupun sudah dua bulan peristiwa itu berlalu, namun Syakira masih lagi terasa pedih di hatinya berbisa. Esakan demi esakan didengari oleh Mak Esah. Mak Esah mengusap rambut anaknya perlahan.

“Sudahlah. Maafkanlah dia.”

“Tapi mak, dia…”

“Bukankah along dah berjanji nak berkawan baik dengan dia sampai mati?”

“Itu dulu, mak…”

Ego Syakira yang berkata-kata. Wajahnya mencuka. Sedangkan hatinya masih lagi merindui persahabatan yang lama itu. Ingatannya terimbas kembali tentang peristiwa Dayah tidak hafal jalan. Syakira menjuih bibirnya memerli Dayah yang terlampau yakin. Matanya melilau melihat papan tanda sambil memperlahankan keretanya.

“Alamak, tak ingatlah.”

“Tadi suruh gunakan Waze, tak nak. Rajin sangat nak tengok papan tanda.” Terkekek-kekek ketawa Syakira. Dayah hanya menggeleng sambil mengikut tawa Syakira. Suasana di dalam kereta bertambah riuh apabila mereka menyanyikan lagu Sahabat oleh Padi. Liriknya yang cukup menyentuh hati mereka, ‘Kau dan aku sahabat untuk selamanya.’

Terukir senyuman di wajah Syakira. Entah mengapa peristiwa itu bermain di fikirannya, seolah-olah pita rakaman yang menayangkan kembali secara jelas. Seperti berlaku semalam. Sepucuk surat dipegang oleh Syakira. Dia tidak membuka surat itu sejak kelmarin posmen datang ke rumahnya. Tulisan tangan pada surat itu dikenali oleh Syakira. Siapa lagi kalau bukan Dayah.

“Bukalah surat tu, Syakira.”

“Along tak nak. Along masih marah pada dia lagi.”

“Dayah tu kawan kamu dari kecil lagi. Entah dia mahu minta maaf pada kamu, siapa tahu? Tak salah kalau Along yang memulakan maaf dulu walaupun Along tak salah.”

“Tak apalah mak. Nanti kalau Along rasa nak baca surat ni, Along bacalah.”

Mak Esah meninggalkan anaknya yang keras kepala itu. Dia tahu lambat laun Syakira akan terbuka hatinya untuk membaca surat tersebut. Suasana kembali hening. Syakira berteman surat yang masih lagi belum dibaca. Tertanya-tanya juga apa isi kandungannya. Hendak dibuka, egonya masih lagi menghalang. Surat tersebut diletakkan di atas mejanya.

Sebulan sudah pun berlalu. Syakira berlari-lari anak menuju ke biliknya sambil dikejar oleh anak buahnya. Pintu ditutup dan dikunci. Syakira ketawa mengekek. Nafasnya dihela panjang. Baru sahaja dia hendak melabuhkan punggungnya ke atas katil, nada dering mesej berbunyi. Telefon dibuka. Matanya tertancap pada skrin telefon.

Dia benar-benar tidak percaya. Tidak, tidak sama sekali! Telefonnya dihempas ke atas meja. Syakira mencari-cari sesuatu di dalam lacinya. Almari dibelek. Setiap buku diselak. Akhirnya dia menjumpai surat yang dicarinya. Koyakan kemas dilakukan dan surat tersebut perlahan-lahan 
dibaca oleh Syakira. Hatinya berdegup kencang ketika membaca surat itu. Kemas benar tulisannya.

Assalamualaikum, Syakira.

Apa khabar? Kau sihat di sana? Agak lama kita tidak berhubung bukan? Pertama sekali aku ingin meminta maaf atas kesalahan yang pernah aku lakukan pada kau. Hati kau tentu luka dengan sikap aku yang degil ini.

Keduanya, ketika surat ini dibaca oleh kau… Aku mungkin tiada lagi atau sedang terlantar di hospital. Surat ini sebenarnya sudah ditulis sejak dua bulan lepas namun aku tiada 
keberanian untuk poskan kepada kau.

Aku menghidap penyakit autoimunisasi. Sistem imunisasi aku menyerang sesama sendiri. Menurut doktor yang merawat aku, sel darah putih aku menyerang sel darah aku. Aku terpaksa bergantung pada ubat.

Penyakit ini tidak boleh dirawat sama sekali buat masa ini.

Aku menyesal, Syakira. Aku minta maaf. Aku sayang kau sangat-sangat Syakira. Kalau boleh aku putarkan masa, aku tidak mahu kita bergaduh. Kau dan aku sahabat untuk selamanya.

Matanya berkaca. Air mata menitik membasahi surat tersebut. Syakira tidak dapat menghabiskan keseluruhan surat tersebut. Entah mengapa dia merasakan dunianya kosong. Kosong seperti 
hatinya. Mindanya memainkan kembali rekod momen-momen manis bersama sahabatnya itu.

Semakin lama memori tersebut bermain di fikirannya, semakin deras air matanya menitik. Dayah sudah pun dijemput Ilahi. Jika Syakira tidak ego dengan dirinya, sudah pasti persahabatan mereka tidak menjadi begini.

Rupanya mereka berdua merindui persahabatan erat tersebut. Wajahnya dan Dayah ketika bergelak ketawa melakar kembali senyumannya yang bercampur kesedihan itu. Harga persahabatan itu manis dan ia benar-benar menyentuh hati Syakira.

“Aku minta maaf, Dayah…”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN