Harapan untuk pulihkan keamanan - Utusan Malaysia

Harapan untuk pulihkan keamanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SULTAN KUDARAT, Filipina – Berpuluh-puluh ribu anggota dan penyokong kumpulan pemberontak Islam terbesar di Filipina berkumpul semalam untuk membincangkan undang-undang bersejarah yang memberikan autonomi kepada mereka.

Presiden Rodrigo Duterte menanda tangani undang-undang itu minggu lalu yang dianggap langkah penting untuk menamatkan pemberontakan penduduk Islam di selatan Filipina. Pemberontakan di Pulau Mindanao itu meragut kira-kira 150,000 nyawa sejak tahun 1970-an.

Anggota kumpulan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF), penyokong dan penduduk tempatan dari segenap pelosok Mindanao berkumpul di kem utama MILF untuk mendengar pe­nerangan tentang perkembangan tersebut.

Pemimpin mereka sedang mencari sokongan untuk undang-undang itu menjelang pungutan suara rakyat me­ngenainya.

“Ini impian kami. Sekiranya kami menamatkannya (pertempuran), kami berharap boleh hidup dengan aman,” kata pejuang pemberontak berumur 61 tahun, Nasser Samama kepada agensi be­rita AFP di pangkalan MILF, Kem Darapanan.

“Kebanyakan orang mahukan keamanan, begitu juga kami dalam MILF. Apa yang dicapai oleh MILF ini bukan sahaja untuk kumpulan kami tetapi demi seluruh Minda­nao,” ujarnya.

Undang-undang itu bertujuan untuk melaksanakan perjanjian pada tahun 2014 yang mana MILF berjanji akan menamatkan perjuangan untuk kemerdekaan dan melucutkan senjata 30,000 pejuangnya sebagai ganti kepada pemerintahan sendiri.

Di bawah undang-undang itu, satu entiti baharu dinamakan Wilayah Autonomi Bangsamoro akan menggantikan wilayah autonomi sedia ada yang diwujudkan susulan perjanjian Manila dengan kumpulan pemberontak lain, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro.

Wilayah autonomi baharu itu mempunyai kuasa lebih besar dan meliputi kawasan lebih luas, namun pemimpin-pemimpin MILF memerlukan sokongan penduduk sebelum referendum diadakan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN