"Harapan kita untuk lihat KJ jadi ketua pembangkang" - Utusan Malaysia

“Harapan kita untuk lihat KJ jadi ketua pembangkang”

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 4 Julai – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berharap Khairy Jamaluddin mempertimbangkan cadangan pelbagai pihak yang mahu melihat Ahli Parlimen Rembau itu menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

Dr . Fathul Bari
FATHUL BARI

Dalam masa sama, beliau juga berharap Presiden UMNO yang baharu, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dapat memujuk Khairy supaya bersetuju dilantik memegang jawatan tersebut.

Beliau berkata, Khairy dilihat calon paling layak dilantik sebagai ketua pembangkang seterusnya membina semula nama baik UMNO.

“Saya berharap Khairy dapat mempertimbangkan hal ini (dilantik sebagai ketua pembangkang). Sekarang, kita beri masa Khairy berehat dan tampil semula selepas ini di dalam Parlimen.

“Kita sememangnya memerlukan ketua pembangkang yang segar dan semua sedia maklum kemampuan Khairy yang mempunyai kelebihan berdebat dan berhujah,” katanya kepada Utusan Online, di sini hari ini.

Semalam bekas calon Presiden UMNO itu menegaskan bahawa beliau tidak akan menerima sebarang jawatan dalam UMNO termasuk menjadi ketua pembangkang di Parlimen.

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan dilaporkan berkata, buat masa sekarang beliau mahu berehat dan tidak mahu memikirkan mengenai perkara itu.

Sebelum itu, beberapa pemimpin seperti Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Senator Khairul Azwan Harun mencadangkan pelantikan Khairy sebagai ketua pembangkang di Parlimen.

Sementara itu, Fathul Bari berkata, sebelum ini, Khairy pernah bersetuju untuk menjadi ketua pembangkang bagi mengimbangi tindak-tanduk kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya harap Khairy akan dapat membuat pertimbangan semula mengenainya. Sememangnya menjadi harapan kita untuk melihat Khairy menjadi ketua pembangkang di Parlimen,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN