Harap Syed Saddiq perkasa NFDP - Utusan Malaysia

Harap Syed Saddiq perkasa NFDP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETUA Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu Bakar mengharapkan kehadiran Menteri Belia dan Sukan baharu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan memberikan satu pembaharuan serta idea di luar kotak kepada usaha membangunkan bakat-bakat muda agar kejayaan yang dilakar sebelum ini dapat diteruskan untuk kemajuan bola sepak negara.

Memuatkan artikel berkaitan…
SYED SADDIQ
SYED SADDIQ

Pelantikan yang dibuat semalam juga telah melengkapkan senarai jemaah menteri bagi menerajui Malaysia di ba­wah pimpinan kerajaan baharu, manakala timbalannya adalah Steven Sim Chee Keong.

Safirul memberitahu, beliau optimis kehadiran Syed Saddiq akan memper­tingkatkan usaha yang dilakukan NFDP sebelum ini berikutan pelatih sedia ada telah beberapa kali menjulang nama negara pada kejohanan antarabangsa.

“Sekarang adalah waktu penting untuk NFDP kerana kita sudah melihat di mana kelemahan dan kekuatan yang ada dan ia adalah titik untuk kita me­lonjak supaya berada pada tahap yang lebih baik.

“Kita mahu Syed Sa­ddiq terus menyokong usaha yang diperkenalkan oleh Khairy Jamaluddin (Abu Bakar) sebelum ini supaya segala agenda dan objektif yang kita tetapkan akan tercapai.

“Usaha yang dilaksanakan beberapa tahun kebe­lakang­an ini telah memberikan gambaran yang mana objektif kita untuk melihat pelatih muda beraksi di Eropah sudah mencapai sasaran dan kita tidak mahu hasil yang diperoleh selama ini terhenti di pertengahan jalan,” katanya ketika dihubungi semalam.

NFDP mencipta banyak kejayaan, terutamanya melalui pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD) apabila beraksi di pentas Eropah dan yang terbaharu tiga pemain bawah 13 tahun (B-13) dipelawa untuk menyertai pasukan Paris Saint-German (PSG) bagi beraksi pada Kejohanan Antarabangsa V Memorial Giuseppe Augello di Rom, Itali.

Pada masa sama, salah seorang dari­padanya, Mohammad Haykal Danish Mohd. Haizon menjaringkan gol ketiga dalam perlawanan pembukaan pertandingan tersebut dan Hazriq Haqqim Mohd. Izham yang merupakan penjaga gol telah diturunkan dalam perlawanan yang sama dan berjaya melakukan aksi tanpa bolos selepas mereka menang 3-0 dalam perlawanan tersebut.

Ahli Parlimen Muar ber­usia 25 tahun itu telah me­nempa sejarah apabila menjadi menteri penuh termuda di Malaysia, sekali gus memberikan harapan baharu buat sukan bola sepak negara, terutamanya pada peringkat akar umbi.

“Saya harapkan idea di luar kotak dapat disumbangkan oleh seorang menteri yang masih muda kerana kita yakin beliau dapat memberikan semangat baharu kepada pelatih sedia ada masa ini.

“Kita mahu usaha yang dijalankan bermula 2014 terus diperkasakan di bawah kepimpinan baharu kerana kita ingin melihat pemain-pemain yang ada dalam negara dapat berdiri setanding dengan pemain di Eropah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN