JOHOR BAHRU 29 Julai – Kerajaan negeri akan mengguna pakai data penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebelum ini untuk melaksanakan pemberian air percuma sebanyak 10 meter padu kepada rakyat yang berkelayakan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse (gambar) berkata, pemberian air percuma itu terbahagi kepada dua kumpulan B40, iaitu yang berpendapatan isi rumah di bawah RM4,000 sebulan.
Beliau berkata, kategori pertama melibatkan penerima BR1M yang mempunyai alamat dan akaun dengan Syarikat Air Johor (SAJ) Ranhill yang kesemuanya dianggarkan mempunyai 230,000 penerima.
“Kategori kedua melibatkan penerima BR1M yang mempunyai alamat tidak sama dengan akaun air SAJ Ranhill. Sebagai contoh penerima BR1M yang menyewa rumah dan jumlah kategori ini dianggarkan seramai 100,000.
“Walau bagaimanapun, bagi kategori kedua ini, mereka perlu memohon dengan mengisi borang di ibu pejabat SAJ Ranhill bermula pertengahan Ogos ini,” katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pasar Paragon, Tampoi, di sini semalam.
Jimmy berkata, pemberian air percuma yang menelan kos RM31.68 juta setahun dijangka dapat direalisasikan bermula September ini mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan kerajaan negeri dan perkara itu telah dipersetujui dalam mesyuarat Exco, Rabu lalu.
“Kita telah menetapkan beberapa syarat termasuk pemberian air percuma ini, antaranya untuk pengguna domestik dan pemegang akaun mestilah tidak boleh mempunyai tunggakan.
“Selain itu, pengguna juga tidak boleh melebihi had penggunaan yang ditetapkan iaitu sebanyak 35 meter padu dan tidak boleh melebihi RM46 sebulan berdasarkan tarif terkini. Kontrak bagi pemberian air percuma ini juga ditetapkan hanya untuk tiga tahun sahaja,” jelasnya sambil memberitahu
Beliau yakin mekanisme itu dapat dilaksanakan selepas kejadian dan perbincangan selama dua bulan antara kerajaan negeri dan beberapa pihak berkepentingan seperti SAJ Ranhill, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPEN).











