Gugurkan mentaliti masih pembangkang - Utusan Malaysia

Gugurkan mentaliti masih pembangkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PAKATAN HARAPAN diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dengan sokongan hebat rakyat pelbagai kaum telah membentuk Kerajaan Pusat serta selesai melantik ahli-ahli jemaah menteri (25 orang) dan timbalan-timbalan menteri (23 orang ) untuk mengurus pentadbiran negara, Malaysia 
Baharu.

Susulan pembentukan Kerajaan Pusat dan lantikan Jemaah menteri, Pakatan Harapan telah mengambil beberapa tindakan bagi menepati janji-janji yang terkandung dalam Manifesto PRU-14. Antara tindakan yang diambil adalah membatalkan sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), menyusun semula serta menamatkan perkhidmatan yang bersifat bertindih antara beberapa agensi kerajaan dalam menjimatkan perbelanjaan kerajaan, menamatkan perkhidmatan beberapa pegawai tinggi (kontrak) yang menerajui beberapa agensi kerajaan termasuk Peguam Negara, Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Gabenor Bank Negara, Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan beberapa syarikat milik kerajaan (GLC).

Ketika rakyat teruja dengan tindakan Pakatan Harapan sejak pembentukan kerajaan baharu, kerajaan ini dalam keghairahan merayakan kemenangan pada PRU-14, didapati menonjolkan mereka adalah lebih bersih, lebih komited menghapus amalan ra­suah, mesra rakyat malah lebih pri­hatin dalam melindungi kepen­tingan rakyat berbanding kerajaan terdahulu, Barisan Nasional (BN).

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, ada beranggapan bahawa menteri-menteri atau ahli badan eksekutif kerajaan Pakatan Harapan yang baru dilantik didapati mengeluarkan kenya­taan media yang kurang konsisten. Malah, kenyataan media yang dibuat mereka didapati kabur dan kurang jelas serta me­nimbulkan pelbagai tanggapan dan tafsiran.

Pada awalnya, projek ECRL diumumkan akan dibatalkan, tetapi baru-baru ini ada kenyataan melaporkan projek tersebut akan terus dilaksanakan tidak lama lagi dengan mengkaji semula kos asal pembinaan.

Sistem GST yang dibatalkan juga dilaporkan akan dikuatkuasakan semula dengan kadar cukai yang lebih rendah. Pada awalnya, didakwa China akan menarik pelaburan berbilion-bi­lion ringgit, tetapi baru-baru ini ada ke­nyataan media kononnya pelaburan dari China ke Malaysia akan ­diteruskan malah akan dipertingkatkan.

Pada awalnya didakwa Malaysia akan bankrap kerana hutang luar negara sudah mencapai kadar kecemasan tetapi baru-baru ini polisi meminjam daripada negara luar akan diteruskan terutama pinjaman dari Jepun.

Sehubungan itu, media sosial pula menularkan berita kononnya nilai ringgit terus merosot, pengaliran keluar aset dalam Bursa Kuala Lumpur sudah mencecah RM200 bilion, saham bernilai hampir RM40 bilion sudah keluar daripada Bursa Kuala Lumpur, keuntungan pelaburan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Tabung Haji kian merosot.

Agensi-agensi penarafan antarabangsa pula melaporkan bahawa laporan yang disajikan oleh kerajaan Pakatan Harapan terhadap status kewangan negara terutamanya hutang negara adalah kurang tepat malah mengelirukan.

Dalam hubungan ini, rakyat Malaysia berharap kerajaan Pakatan Harapan lebih mengutamakan hal-hal menepati janji yang terkandung dalam Manifesto PRU-14 berbanding perkara-per­kara melibatkan kesalahan, kelemahan dan salahlaku kerajaan sebelumnya.

Kerajaan Pakatan Harapan malah rakyat Malaysia boleh mencontohi pemikiran dan budaya politik yang diamalkan di negara-negara yang menjunjung sistem demokrasi matang seperti Amerika Syarikat, United Kingdom (UK), India, Jepun, Indonesia, Korea Selatan dan beberapa negara Barat dan Eropah.

Pengundi di negara-negara tersebut sanggup dan bersedia memilih parti politik secara selang seli untuk mentadbir negara mereka.

Sebagai contoh di Amerika Syarikat, warganya memilih Parti Republikan atau Parti Demokrat, warga India memilih Parti Kongres atau Parti Bharatiya Janata Party (BJP), warga Indonesia memilih Parti Persatuan Pembangunan, Parti Golongan Karya (Golkar) atau Partai Demokrasi Indonesia, warga England memilih parti Konservatif atau Labour, warga Korea Selatan memilih parti konservatif atau Buruh, warga Jepun memilih Parti Demokratik Liberal (LDP) atau Parti Liberal atau Parti Demokratik Sosial.

Apabila sebuah parti dipilih untuk mentadbir negara, maka parti tersebut didapati lebih menumpukan perhatiannya kepada mensejahterakan rakyat dan bukan asyik mencari kesalahan kerajaan sebelumnya.

Sehubungan itu, rakyat berharap kerajaan Pakatan Harapan, selaku parti memerintah lebih menumpukan perhatian kepada menepati janji PRU-14 dalam 100 hari dan mengelak mengeluarkan kenyataan dan tindakan yang boleh menimbulkan persepsi bahawa Pakatan Harapan cuba me­ngalih perhatian rakyat daripada menepati janji-janji itu. Mentaliti politik pembangkang perlu digugurkan kerana Pakatan Harapan kini adalah parti memerintah.

DATUK M. PERIASAMY ialah penganalisis politik dan pensyarah komunikasi strategik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN