Guan Eng - Zeti berhak ambil tindakan guaman berhubung dakwaan Najib - Utusan Malaysia

Guan Eng – Zeti berhak ambil tindakan guaman berhubung dakwaan Najib

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 3 Julai – Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berhak mengambil tindakan guaman terhadap Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) itu mengetahui mengenai dana RM2.6 bilion tetapi tidak mempersoalkan perkara itu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Zeti telah memaklumkan kepada beliau mengenai rasa tidak puas hati terhadap dakwaan bekas Perdana Menteri itu dan menegaskan perkara berkenaan merupakan fitnah.

“Saya menyatakan kalau ini fitnah maka beliau harus mengambil tindakan yang sewajarnya, tentu saya rasa dia (Zeti) sedang membincangkan perkara ini dengan pihak peguamnya, saya tidak mahu cakap lebih dari itu, marilah kita ikut proses mengikut hak peribadi dari segi perundangan oleh Tan Sri Zeti,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Jabatan Kastam Diraja Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini dalam tembual bersama Malaysiakini, Najib mendakwa Zeti ketika menjadi Gabenor Bank Negara sedar tentang RM2.6 bilion dalam akaunnya sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) 2013, tetapi tidak mempersoalkan perkara itu.

Guan Eng memberitahu, beliau terdahulu pada hari ini menghadiri majlis Aidilfitri Kementerian Kewangan peringkat dalaman yang turut dihadiri Zeti dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin serta ahli-ahli majlis berkenaan. 

Jelas beliau, perkara tersebut telah dibangkitkan sendiri oleh Zeti kepadanya dalam majlis berkenaan yang mana Pengerusi Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu dilantik itu berasa kesal dengan perkara tersebut.

Berhubung perkara itu, kata Guan Eng, kementeriannya tetap mempunyai keyakinan terhadap integriti dan kredibiliti Zeti. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN