Gempa 6.4 Richter gegar Lombok - Utusan Malaysia

Gempa 6.4 Richter gegar Lombok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 29 Julai – Satu gempa bumi kuat ber­ukuran 6.4 skala Richter menggegar Pulau Lombok awal pagi ini, menyebabkan se­kurang-kurangnya 14 orang termasuk seorang rakyat Malaysia maut dan 162 lagi cedera.

Menurut pihak berkuasa, gempa di pulau percutian terkenal itu berlaku pada pukul 6.47 pagi waktu tempatan ketika orang ramai masih tidur, menyebabkan ba­nyak mangsa tertimbus di bawah runtuhan bangunan serta rumah.

Gegaran yang berlaku juga menyebabkan ramai penduduk pa­nik dan melarikan diri ke kawasan lapang bagi mengelak dihempap runtuhan bangunan dan rumah.

Seorang pelancong memberitahu agensi berita Reuters bahawa dia dikejutkan dengan gegaran kuat menyebabkan dia berlari keluar dari bilik hotel.

“Setakat ini saya tidak melihat sebarang kerosakan di hotel penginapan saya, namun kocakan air dalam kolam renang boleh diibaratkan seperti gelora di lautan ketika gempa berlaku,” katanya.

Menurut Pusat Kajian Geo­logi Amerika Syarikat (USGS), gempa tersebut dikesan pada ke­dalaman tujuh kilometer dan 50 kilometer ke arah timur laut bandar Mataram yang terletak di bahagian utara Lombok.

Jurucakap Agensi Pencegahan Bencana Indonesia, Sutopo Purwo Nughoro berkata, orang ramai kini berkumpul di jalan dan kawasan padang kerana bimbang terkena runtuhan bangunan.

“Ketika ini, misi utama pihak berkuasa adalah untuk melakukan kerja pemindahan penduduk dan operasi mencari serta menyelamat (SAR) kerana dijangka angka korban boleh terus me­ningkat.

“Beberapa penduduk yang ce­de­ra juga sudah dibawa ke klinik berhampiran untuk menerima ra­watan segera,” katanya.

Dianggarkan sebanyak 120 gem­­pa susulan direkodkan selepas itu dan ada antaranya berukuran 5.7 Richter.

Gempa bumi itu juga boleh dirasai di Bali yang terletak bersebelahan dengan Lombok.

Dalam pada itu, seorang rakyat Malaysia yang hanya dikenali sebagai Siti Nur Ismawida, 30, dilaporkan meninggal dunia akibat dihempap runtuhan rumah yang musnah di kaki Gunung Rinjani selepas melakukan aktiviti mendaki bersama kumpulannya.

Jenazah mangsa kini dilaporkan ditempatkan di Klinik Sembalun, Lombok.

Sehubungan itu, kawasan Rin­ja­ni ditutup buat sementara waktu berikutan bimbang berlakunya tanah runtuh.

Gempa tersebut dilaporkan tidak menyebabkan berlaku tsu­nami namun pihak berkuasa te­tap mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN