Gegaran runtuhkan rumah sekelip mata - Utusan Malaysia

Gegaran runtuhkan rumah sekelip mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Julai – “Gegaran berlaku sangat kuat dan meruntuhkan rumah yang kami duduk sekelip mata.

Perkara itu diceritakan Zuraimi Othman, 38, seorang pendaki yang cedera akibat terperangkap dalam runtuhan rumah selepas berlakunya gempa bumi di Lombok, Indonesia, semalam.

Jelasnya, gegaran berlaku sangat kuat sehinggakan dia dan rakan-rakan yang lain ketika itu tidak sempat melarikan diri.

“Ketika kejadian saya sudah bangun tidur dan menunggu giliran untuk ke tandas dan tiba-tiba rumah kami runtuh.

“Sebanyak lapan orang terperangkap di dalam rumah termasuk saya dan 10 lagi berjaya keluar dari rumah,” katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini. 

Menurutnya, dia tidak pasti apa yang berlaku kerana selepas kejadian itu, beberapa penduduk kampung cuba membawanya keluar dan dihantar ke hospital.

Ujarnya, ketika ini dia masih mendapat rawatan kerana mengalami cedera ringan bersama rakannya iaitu Syahidatul Akmar Safian, 37 dan Ain Zubaidah, 28.

Manakala, tiga lagi rakannya iaitu Maylie Laili, 24; Fatin Nabila, 24 dan Anzilla Jais, 27, mengalami cederah parah dan sedang dirawat.

Semalam, seorang rakyat Malaysia dilaporkan terkorban dalam kejadian gempa bumi sekuat 6.4 Richter yang berlaku di Nusa Tenggara Barat dan Lombok pagi ini.

Mangsa yang terkorban ialah Siti Nur Ismawida Ismail, 30, dan jenazah mangsa dilaporkan berada di Klinik Sembalun, Lombok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN