Gagal tunai manifesto, tindakan munafik - Pemuda UMNO - Utusan Malaysia

Gagal tunai manifesto, tindakan munafik – Pemuda UMNO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 19 Julai – Kerajaan Pakatan Harapan tidak seharusnya membandingkan keperluan untuk melunaskan manifesto ’10 janji 100 hari’ mereka dengan mana-mana kitab suci seperti al-Quran mahupun Bible kerana ia merupakan perjanjian yang telah dimeterai antara mereka dengan rakyat ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, kegagalan menunaikan janji adalah antara perkara yang amat serius di sisi Islam iaitu boleh dianggap sebagai seorang yang menafik.

Beliau berkata, malah soal dosa tidak hanya terikat kepada dosa dengan tuhan sahaja, sebaliknya turut melibatkan dosa antara makhluk dengan makhluk.

Justeru, menurutnya, barisan kepemimpinan kerajaan hari ini perlu memohon maaf secara terbuka kepada rakyat sekiranya berasa tidak mampu melunaskan apa yang terkandung dalam Buku Harapan mengikut jangka masa 100 hari itu.

“Natijahnya sekiranya kita tidak melunaskan janji, maka dari segi lslam, orang yang tidak kota janji ini dianggap sebagai orang yang munafik.

“Barisan Nasional (BN) jatuh kerana janji mereka (Pakatan Harapan) yang begitu didambakan oleh rakyat dan kita pun berasa seronok kalau janji itu dapat ditunaikan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Pelantikan Ketua dan Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Negeri di Menara Datuk Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN