KUALA LUMPUR 4 Julai – Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menyatakan sokongan kepada kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH) di bawah kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diyakini dapat membawa perubahan besar dalam membantu ekonomi bumiputera.
Pengerusinya, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik berkata, melalui segala dasar yang dirangka, Gabem percaya kerajaan baharu hari ini dapat meramaikan lagi bilangan usahawan yang produktif dalam kalangan bumiputera.
“Lebih-lebih lagi dengan kembalinya semula penubuhan Kementerian Pembangunan Usahawan yang diterajui oleh Menterinya, Mohd. Redzuan Yusof.
“Gabem memuji dan menghargai langkah berani kerajaan dengan mengembalikan semula Kementerian yang dihapuskan pada tahun 2009 itu,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma UOA, Jalan Pinang di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Gabem, Datuk Mohammad Izat Hasan. – UTUSAN ONLINE










