Foto krisis kemanusiaan cetus perdebatan awam - Utusan Malaysia

Foto krisis kemanusiaan cetus perdebatan awam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FOTO jasad kanak-kanak Syria, Aylan Kurdi yang ditemui terdampar di pantai Turki menjadi trending di seluruh dunia.

Berpakaian baju T merah dan seluar biru, mangsa yang berusia tiga tahun dari Kurdish, Syria dipercayai antara 12 pelarian yang cuba memasuki negara Greece namun lemas apabila bot yang dinaiki karam.

Jasad abangnya yang berusia lima tahun juga ditemui tidak jauh dari lokasi Aylan ditemui. Kedua-dua kanak-kanak lelaki itu dan ibunya menemui pengakhiran hayat yang begitu menyedihkan.

Ia menggambarkan betapa seriusnya krisis pelarian yang melanda sehingga mencetuskan kemarahan masyarakat antarabangsa.

Dalam sebuah kaji selidik yang dijalankan Reuters wakil-wakil daripada badan amal memilih gambar berkenaan bagi menggambarkan isu kemanusiaan yang berlaku.

“Kajian menunjukkan gambar itu dikongsi berjuta-juta kali di media sosial dan mereka menggunakan istilah pelarian bukannya orang asing,” kata Pengarah Komunikasi Oxfam, Matthew Sherrington.

“Ia adalah satu tragedi yang melambangkan kemarahan dunia dan empati yang menuntut jalan penyelesaian,” katanya.

Sementara itu, Matthew Saltmarsh dari agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) menganggap gambar tersebut terlalu menyedihkan sehingga membawa perubahan terhadap sikap masyarakat terhadap pelarian.

“Ia juga telah meningkatkan sumbangan dana kepada badan amal kerana tular di media sosial sehingga menggemparkan seluruh dunia,” katanya.

Kaji selidik itu dilakukan setelah gambar seorang bayi yang menangis di sempadan Amerika Syarikat tular di media sosial bulan lalu, sekali gus menolak dasar yang diperkenalkan Presiden Donald Trump.

Perdebatan

Gambar seorang kanak-kanak, Haoman Daqneesh yang dipenuhi darah dan diselaputi debu turut mendapat perhatian masyarakat.

“Konflik di Syria telah berlarutan untuk jangka masa yang panjang sehingga masyarakat di Britain kebal terhadap krisis yang berlaku,” kata Hannah Richards dari CARE International Britain.

Setiausaha Agung Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Jamilah Mahmood berkata, gambar-gambar dalam kaji selidik itu menceritakan tentang konflik yang berlaku sehingga menghapuskan segala perkataan yang ditulis.

“Ia menjadi medan perdebatan tentang manusia dan erti perikemanusiaan. Bagaimanapun, gambar sukarelawan di Liberia ketika krisis Ebola yang memakai selimut biru dan sarung tangan kuning menjadi pilihan utama,” ujarnya.

Sesetengah badan amal mengatakan gambar-gambar berkenaan mempunyai kesan tertentu yang boleh diukur melalui sokongan kewangan.

Agensi Pembangunan Bangladesh (BRAC) pula memilih gambar sekumpulan kanak-kanak lelaki Rohingya yang menaiki trak bantuan di Bangladesh.

“Serta-merta kita melihat peningkatan sokongan moral, kewangan, inisiatif advokasi akar umbi dan kempen daripada rakan-rakan seperjuangan,” kata Sharad Aggarwal, Naib Presiden BRAC Amerika Syarikat.

Perkhidmatan Katolik Relief (CRS) memilih gambar gadis-gadis Yazidi yang berpakaian gemerlapan di bandar Erbil, Iraq selepas melarikan diri daripada pengganas.

“Mengikut tweetnya dalam tempoh enam bulan, CRS menerima sumbangan lebih daripada 7,000 orang penderma swasta berjumlah $3.3 juta (RM12.08 juta),” kata Pengarah Komunikasinya, Kim Pozniak.

Islamic Relief, Amerika Syarikat menyoroti gambar oleh Steve McCurry yang memperlihatkan seorang gadis Afghanistan bermata hijau di muka depan National Geographic pada tahun 1985.

“Ia adalah gambar yang sangat berharga kerana walaupun ia menunjukkan penderitaan tetapi turut menonjolkan elemen klasik,” kata jurucakapnya, Syed Hassan.

Setiausaha Agung Majlis Pelarian Denmark, Christian Friis Bach berpendapat, walaupun gambar-gambar begitu menyayat hati tetapi imej positif juga boleh mempengaruhi perubahan.

Gambar pasukan pelarian Olimpik pada tahun 2016 menunjukkan wajah para atlet yang dibawa bersama untuk pertandingan di Rio de Janeiro melambai-lambai bendera putih.

“Ia adalah cara yang baik untuk mengingatkan kita semua bahawa pelarian adalah sebahagian daripada sumber manusia, mempunyai bakat luar biasa dan mempunyai cita-cita.

“Mereka tidak seharusnya dianggap sebagai mangsa tetapi sebagai manusia yang telah dilucutkan hak untuk memperoleh kehidupan yang aman dan bermaruah,” – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×