Fitri Haris dihubungi suami peminat - Utusan Malaysia

Fitri Haris dihubungi suami peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM 4 Julai – Juara program Gema Gegar Vaganza musim kedua (GGV2), Fitri Haris mengakui dihubungi suami peminat kerana didakwa cuba menggoda isterinya.

Menurut Fitri, dia bagaimanapun mengambil langkah untuk menjelaskan keadaan sebenar selain turut menjemput si suami tersebut ke program yang dianjurkan bersama peminat.

“Memang ada beberapa peminat yang menggoda mungkin disebabkan status bapa tunggal yang dipegang saya. Namun saya akui ini adalah antara cabaran yang dilalui selepas kemenangan di GGV.

“Saya cuba jelaskan perkara sebenar kepada lelaki tersebut selain turut menjemput dia ke program yang disertai peminat lain dalam mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang aktiviti kami,” katanya ketika ditemui pada majlis perlancaran lagu Hanya Tuhan Yang Tahu 2018 di Butik Haqqi Shah Alam, sebentar tadi.

Selain itu juga penyanyi berusia 34 tahun ini juga turut mengakui kemenangan di GGV tempoh hari juga turut menyebabkan jadual hariannya sebagai pendidik dan penyanyi kini semakin sibuk.

“Saya masih lagi seorang pensyarah di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan boleh dikatakan jadual nyanyian saya juga agak padat. Pada mulanya agak terkejut dengan perubahan ini tetapi saya perlu terima ini adalah fasa yang perlu saya lalui.

“Namun bila ada peminat yang kata saya sombong sebab tidak lagi sempat melayan mereka di laman sosial dan sebagainya, saya akui ini antara kesan perubahan yang berlaku. Tetapi bila saya jelaskan kepada mereka, baru mereka faham apa yang perlu saya lalui,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN