FAM harap isu Amirul selesai - Utusan Malaysia

FAM harap isu Amirul selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) berharap isu pemain skuad bawah 16 tahun (B-16) negara, Ami­rul Ashrafiq Hanifah yang melakukan kesilapan memuat naik bendera Indonesia pada Instagram miliknya sebelum berlepas ke Surabaya, Indonesia kelmarin untuk kejohanan bola sepak Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) B-16 selesai.

Amirul kini menjadi subjek serangan me­dia-media di Indonesia kerana kesilapannya memuat naik status tersebut yang dikatakan menghina Indonesia.

FAM dalam kenyata­an­nya menerusi Facebook rasminya memberitahu, Amirul sudah memohon maaf atas kesilapan yang dilakukannya itu dan berharap isu tersebut tidak berlanjutan memandangkan skuad kendalian Raja Azlan Shah Raja Sho’ib tersebut bakal beraksi di Surabaya bermula hari ini (semalam).

“Pihak FAM berharap perkara ini selesai dan tidak terus dijadikan isu utama sepanjang kejohanan AFF B-16 yang berlangsung di Surabaya.

“Kami tidak mahu fokus untuk kejohanan AFF B-16 yang bermula hari ini (semalam) terjejas ekoran insiden ber­kenaan,” katanya kenyataan itu semalam.

Susulan kejadian tersebut, Amirul tampil membuat permohonan maaf kepada rakyat di negara jiran itu secara terbuka pada Instagram miliknya semalam.

“Saya ingin memohon maaf kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan saya memuat naik bendera yang salah pada Instagram Story tempoh hari.

“Saya tiada niat langsung untuk mela­kukan sebarang provokasi. Ia semata-mata kesilapan saya tersalah letak bendera Poland, bukannya bendera Indonesia se­perti yang sepatutnya,” kata Amirul.

Kelmarin, Setiausaha Menteri Pemuda dan Olahraga (Sesmenpora), Gatot S. Dewa Broto meminta Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) untuk melakukan protes terhadap FAM ekoran tindakan yang telah dilakukan Amirul kerana menganggap perbuatan tersebut sangat tidak boleh diterima.

Mengulas mengenai isu tersebut, Gatot telah menyuarakan kepada media tempatan Indonesia, Akurat.co dengan me­ngatakan FAM harus mengambil tindakan atas kesalahan tersebut, bahkan perlu mempertimbangkan agar Ami­rul dilarang bertanding di Indonesia.

“PSSI harus protes keras (tegas), minta mereka minta maaf. Jika perlu, pemain tersebut dilarang datang ke Indonesia untuk bertanding. Itu betul-betul pelanggaran yang sangat fatal, masalah­nya kerana berkait dengan negara,” kata Gatot kepada Akurat.co.

Bagaimanapun, skuad B-16 negara ti­dak akan bertemu Indonesia pada pe­ringkat awal apabila keputusan undian meletakkan mereka dalam Kumpulan B bersama Thailand, Brunei, ­Singapura dan Laos.

Namun, skuad bimbingan Raja Azlan Shah yang dilihat antara pasukan pilihan kali ini mempunyai peluang untuk bertemu pasukan tuan rumah pada peringkat seterusnya selepas skuad negara pernah menjadi juara untuk kejohanan tersebut pada 2013.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN