KUALA LUMPUR 4 Julai – Penyanyi Ernie Zakri, 26, ternyata berang apabila mendapat tahu dirinya diperguna dan diperbodohkan oleh Haqiem Rusli, 20, ketika menjayakan sebuah segmen kelolaan stesen radio Hot FM.
Berdasarkan entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya, pelantun lagu Misteri itu mengakui tidak tahu menahu undangannya ke konti radio berkenaan adalah untuk menjayakan rancangan Haqiem yang disifatkannya tidak profesional.
“Saya membazirkan masa kira-kira dua jam semata-mata untuk memastikan racangan awak berjaya. Tindakan tersebut sangatlah tidak profesional,” katanya meluahkan ketidakpuasan hati yang terbuku di hatinya.
Ernie menambah, pada awalnya dia menganggap Hot FM mengundangnya bagi mempromosikan single Misteri nyanyiannya, namun tak disangka telah diperbodohkan hanya untuk menjayakan gimik murahan.
“Kenapa perlu kaitkan gimik kemurungan dan hendak berhenti menyanyi dengan saya yang tidak tahu apa-apa?
“Ternyata perbuatan awak itu terlalu kejam. Bertambah sedih, kenapa gunakan saya untuk rancangan yang sebegitu?
“Kalau awak hendak buat gimik apa sekalipun, buatlah tetapi jangan libatkan orang lain dalam hal awak,” tegasnya.
Menurut pemenang Vokal Terbaik AJL 32 itu, tidak berbaloi untuk membuang masa selama dua jam untuk rancangan yang salah.
Katanya, dia terpaksa membatalkan kelas vokal disebabkan perlu terbabit dalam program berkenaan.
“Saya marah kepada pihak yang tahu mengenai hal ini. Saya tidak tahu sama ada syarikat rakaman FMC Music dan Hot FM sudah merancang lama dan berniat untuk menyorokkannya daripada pengetahuan saya,” katanya.
Ernie mengambil keputusan untuk mengeluarkan kenyataan tersebut di media sosialnya selepas dikritik teruk kerana menyokong tindakan Haqiem membuat gimik tersebut. – UTUSAN ONLINE










