England lakar sejarah hapus badi penalti 22 tahun - Utusan Malaysia

England lakar sejarah hapus badi penalti 22 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Jurulatih England, Gareth Southgate percaya anak-anak buahnya telah melakar nama mereka dalam sejarah baharu bola sepak negara tersebut selepas berjaya menghapuskan badi penalti ketika menewaskan Colombia pada peringkat 16 pasukan terbaik Piala Dunia 2018 FIFA di Rusia, awal pagi tadi.

Eric Dier merembat masuk gol kemenangan menerusi sepakan terakhir penentuan tersebut selepas penjaga gol, Jordan Pickford menyelamatkan tendangan Carlos Bacca, sekali gus menjamin kemaraan England ke suku akhir bertemu Sweden Sabtu ini.

Kejayaan 4-3 itu mencetuskan suasana gembira dalam kem England kerana ini kali pertama mereka memenangi penentuan penalti sejak menewaskan Sepanyol 4-2 dalam kempen Euro 1996.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mereka sebelum ini memiliki rekod buruk dalam sepakan penalti apabila tewas 3-4 kepada Jerman Barat di Piala Dunia 1990, Jerman 5-6 (Euro 1996), Argentina 3-4 (Piala Dunia 1998), Portugal 5-6 (Euro 2004), Portugal 1-3 (Piala Dunia 2006) dan Itali 2-4 (Euro 2012)

Bagaimanapun kejayaan England pagi tadi hampir direntap Colombia yang menyamakan kedudukan 1-1 pada lewat permainan selepas Harry Kane meletakkan The Three Lions di depan.

Southgate bagaimanapun tetap memuji semangat juang pemainnya yang tetap tenang mengawal permainan sehingga tamat masa tambahan.

“Mereka (pemain England) telah mencatat nama mereka dalam sejarah yang tersendiri,” jelas Southgate.

“Kami bermain dengan baik sepanjang 90 minit permainan, kami tunjukkan keinginan untuk bangkit daripada kekecewaan dan mengekalkan ketenangan.

“Pujian harus diberikan kepada semua pemain dan pegawai kami. Penentuan penalti sememangnya sukar. Kami telah berbincang panjang mengenai cara untuk memenanginya.

“Para pemain berjaya melaksanankannya dan ia satu detik yang istimewa bagi kami,” katanya lagi.

Namun, Southgate menasihati pasukannya supaya tidak terlalu dibuai dengan kejayaan pagi tadi, sebaliknya fokus kepada pertemuan seterusnya dengan Sweden di suku akhir.

“Malam ini memang amat istimewa tetapi kami kini perlu memikirkan tentang pertemuan dengan Sweden.

“Saya mahu kami teruskan momentum dan kemaraan. Sweden sebuah pasukan yang berbeza dan rekod kami dengan mereka juga tidak begitu baik. 

“Kita telah memandang mudah kepada mereka sejak beberapa tahun lalu. Saya tidak mahu kami pulang awal dalam kempen ini,” katanya. – Agensi
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN