DUN Balakong: Amirudin bincang dengan DAP lima hari lagi - Utusan Malaysia

DUN Balakong: Amirudin bincang dengan DAP lima hari lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari akan berbincang bersama DAP berhubung calon bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dalam masa terdekat.

Amirudin berkata, DAP semestinya sedia maklum berhubung kekosongan DUN tersebut selepas kematian penyandangnya, Ng Tien Chee, 40, yang maut dalam satu kemalangan di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga, malam tadi.

Katanya, perkara tersebut mungkin dibincangkan dalam tempoh lima hari lagi selepas segala urusan jenazah mendiang Tien Chee atau lebih dikenali sebagai Eddie Ng diuruskan keluarganya.

“Kita akan mendapatkan pemakluman rasmi daripada keluarga mendiang dan parti sebelum menyerahkan notis kekosongan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Dalam politik, kita kena bersiap siaga termasuk kemungkinan terpaksa berhadapan dengan perkara-perkara yang diluar bidang kuasa kita,” katanya pada sidang akhbar selepas program menyantuni dan menyemarakkan inisiatif peduli rakyat Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di sini hari ini.

Tien Chee dilaporkan maut dalam satu kemalangan di Kilometer 11.7 Lebuhraya Grand Saga kira-kira 12.40 tengah malam tadi selepas kenderaan dipandu mangsa melanggar belakang sebuah lori.

Beliau yang juga Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor bagaimanapun menegaskan fokus utama sekarang adalah bagi memberikan ruang dan menghormati jenazah mendiang yang merupakan seorang rakan peramah dan suka bergurau.

“Sudah tentu, rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) khususnya parti DAP merasai kehilangan beliau,” jelasnya.

Dalam pada itu, Amirudin mengesahkan akan bertanding untuk jawatan di pemilihan peringkat pusat PKR yang bakal berlangsung bulan depan namun tidak memutuskan posisi jawatan itu.

“Setakat ini, saya fokus kepada Gombak sebagai Timbalan Ketua Cabang selain  keutamaan saya sebagai Menteri Besar dalam menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat negeri ini,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN