Dua penduduk Palestin mati ditembak - Utusan Malaysia

Dua penduduk Palestin mati ditembak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA 30 Jun – Tentera Israel menembak mati dua penduduk Palestin termasuk seorang remaja lelaki berusia 14 tahun, manakala 415 penduduk lain cedera terkena peluru hidup dan gas pemedih mata ketika tunjuk perasaan berlaku di kawasan sempadan Gaza dan Israel semalam.

Menurut sumber Kementerian Kesihatan Gaza, kedua-dua mangsa tersebut iaitu Yasser Abu Al-Naja, 14, dan Mohammad Al-Hamayda, 24, maut akibat terkena tembakan peluru hidup.

Selain itu, empat orang dilaporkan cedera parah akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh tentera Israel.

Tentera Israel dalam satu kenyataan mendakwa pihaknya terpaksa berbuat demikian bagi menyuraikan keadaan yang disifatkan mula bertukar ganas termasuk menggunakan peluru hidup.

Israel mendakwa ribuan penduduk Palestin melontarkan batu ke arah pasukan tentera serta membakar tayar selain memaklumkan bahawa kematian Yasser akan disiasat dan tindakan bakal diambil jika perlu.

Sehingga kini, tentera Israel sudah menembak mati sekurang-kurangnya 135 penduduk Palestin sejak tunjuk perasaan bermula 30 Mac lalu.

Kesemua tunjuk perasaan yang dilakukan oleh penduduk Palestin dalam tempoh tersebut bertujuan menuntut semula hak mereka yang dirampas oleh Israel sejak 70 tahun lalu.

Dalam pada itu, Israel sehingga kini bertegas menyatakan bahawa kesemua tunjuk perasaan yang berlaku didorong oleh Hamas yang mengawal Semenanjung Gaza namun dinafikan oleh pergerakan tersebut.

Tindakan ketenteraan yang digunakan oleh tentera Israel sebelum ini turut mendapat kritikan komuniti antarabangsa. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN