KOTA TINGGI 8 Julai – Kegembiraan sekumpulan remaja menunggang motosikal menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia di sebuah restoran mamak di bandar ini berakhir apabila dua daripada mereka maut dalam kemalangan hari ini.
Dalam kejadian pukul 4.15 pagi di Kilometer 67.5, Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini, mangsa yang maut dikenali Mohamad Iman Firdaus Razak Jaffry, 19, dan Muhammad Eizlan Nor Azman, 18.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Ashmon Bajah berkata, sebelum kejadian itu, kedua-dua mangsa bersama rakan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Felda Pasak di sini selepas menonton perlawanan bola sepak Piala Dunia di restoran tersebut.
“Tiba di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa gagal mengawal motosikal mereka dan bergesel sesama sendiri sehingga memasuki laluan bertentangan.
“Mereka kemudiannya bertembung dengan sebuah lori dari arah Sungai Rengit yang tidak sempat membrek dan mengelak kedua-dua mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Ashmon, akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa disahkan maut di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk bedah siasat.
Katanya, pemandu lori yang berusia 48 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu rakan mangsa, Muhammad Iqmal Amirudin, 19, berkata, ketika kejadian, dia juga nyaris terlibat dengan kemalangan itu.
Menurutnya, mereka bergerak secara berkumpulan tetapi kedua-dua rakannya itu berada di hadapan.
“Pada awalnya saya dapat lihat cahaya lampu motosikal arwah di depan. Tak lama lepas tu hilang sebelum tiba-tiba sahaja lori berada di depan kami. Saya sempat mengelak ketika itu.
“Saya sempat menggoncang badan Mohamad Iman Firdaus, namun tidak memberi sebarang respon dan melihat Muhammad Eizlan sudah tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik hospital tersebut di sini.











