PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan migran rentas sempadan yang aktif menjalankan kegiatan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, dalam operasi khas yang dijalankan oleh Unit Perisikan, Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa Jabatan Imigresen pada pukul 3.30 petang itu, seramai dua lelaki warga Myanmar telah ditahan termasuk dalang utama sindiket.
“Salah seorang daripada suspek merupakan dalang utama yang menjadi perancang menguruskan ketibaan dan kemasukan migrain yang tiba ke negara ini dengan penerbangan dari Yangon, Myanmar.
“Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek ini merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang pernah mempunyai rekod kesalahan imigresen sebelum ini,” katanya dalam stau kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mustafar, urusan kemasukan migran tersebut telah diatur oleh rangkaian sindiket yang berada di Myanmar dan negara ini dengan bayaran sebanyak RM4,000 bagi setiap seorang.
Hasil siasatan awal mendapat, migran tersebut diuruskan oleh suspek yang bertindak sebagai ejen dikenali sebagai ‘Muhammed’. Sindiket tersebut didapati aktif dalam aktiviti ini dan telah beroperasi antara lima hingga sepuluh tahun.
“Migran yang terlibat perlu membayar antara RM3,000 hingga RM4,000 kepada sindiket ini bergantung kepada status dokumen mereka sama ada memiliki senarai hitam imigresen ataupun memiliki visa palsu,” katanya. – K! ONLINE










